Karnival J.O.M Healing dekati jiwa belia

SUNGAI SIPUT – Karnival Jelajah Orang Muda (J.O.M) Healing yang diadakan di Felda Lasah, di sini, pada Ahad memberi peluang kepada golongan belia khususnya untuk terlibat dengan aktiviti fizikal serta berpeluang mendekatkan diri  mereka dengan masyarakat setempat.

Pengerusi Majlis Belia Daerah (MDB) Sungai Siput, Muhammad Ariff Zaki Mohd Zolkafly berkata, karnival tersebut adalah yang ketiga, selepas kali pertama diadakan di Manjung dan yang kedua di Beruas.

Menurutnya, program di bawah Sekretariat Mahasiswa Perak Sejahtera itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turun padang meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak-anak muda.

Karnival J.O.M Healing dekati jiwa belia
Pengerusi Majlis Belia Daerah Sungai Siput, Muhammad Ariff Zaki Mohd Zolkafly pada Karnival J.O.M (Jelajah Orang Muda) Healing @ Sungai Siput 2024 di Padang Felda Lasah, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2024.

“Karnival yang pertama diadakan bagi tahun 2024 ini berjaya menarik lebih 2,500 pengunjung terdiri daripada penduduk di sekitar kawasan Sungai Siput dari pelbagai lapisan usia.

“Kita melaksanakan program ini untuk menarik minat anak-anak muda tidak terhad kepada yang bujang malah belia yang sudah berkeluarga juga boleh datang dengan konsep kita menyediakan aktiviti untuk anak-anak mereka dan belia boleh melakukan aktiviti dengan masyarakat.

“Antara program yang diadakan termasuklah beberapa pertandingan sukan seperti penalti bola sepak melibatkan 64 pasukan, sepak takraw (32 pasukan), dan bola jaring (24 pasukan).

“Pertandingan mewarna melibatkan 100 perserta kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun turut diadakan selain pertandingan hiasan donut, bengkel bunga kawat bulu yang diadakan di perkarangan Masjid Felda Lasah,“ katanya ketika ditemui di Padang Felda Lasah, di sini, pada Ahad.

Karnival J.O.M Healing dekati jiwa belia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Karnival J.O.M (Jelajah Orang Muda) Healing @ Sungai Siput 2024 di Padang Felda Lasah, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2024.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat reruai menjual makanan dan minuman serta beberapa reruai jualan lain antaranya Perak FC serta Jualan Rahmah daging lembu, telur dan ayam.

“Jabatan Pertanian Negeri Perak turut bermurah hati memberikan 500 anak pokok kelapa kuning secara percuma kepada pengunjung terawal.

“Menerusi bantuan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) seramai 200 pengunjung pertama diberikan perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan sebelum itu pada sebelah pagi diadakan kelas asas menggunting rambut,“ ujarnya.

Karnival J.O.M Healing dekati jiwa belia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberikan anak pokok kelapa kepada orang ramai ketika melawat reruai Jabatan Pertanian Negeri Perak pada Karnival J.O.M (Jelajah Orang Muda) Healing @ Sungai Siput 2024 di Padang Felda Lasah, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2024.

Katanya, melalui rangkaian belia di bawah MDB Sungai Siput, mereka pernah melaksanakan aktiviti melibatkan belia antaranya Karnival Sukan Anak Muda di Victoria Bridge, Pekan Karai.

“Sehubungan itu, kita perlu sediakan aktiviti yang bersesuaian mengikut peredaran semasa dan kehendak anak muda bukan program ‘syok sendiri‘ yang tidak akan memberi sebarang manfaat kepada mereka,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

297 belia usaha tanaman makanan seluas 10,935 hektar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI