IPOH -Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, malam ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco Kerajaan Perak.
Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti dengan persembahan silat terdiri daripada pelajar Pusat Tahfiz Al Baraqah yang juga Naib Johan Seni Silat Asli Peringkat Daerah Kinta Utara.
Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah juara Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas yang dimenangi Muhammad Qawiem Athif dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar manakala Teoh Yu Shan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping mengungguli Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Atas.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah untuk Pertandingan Melukis Karikatur (Kategori Sekolah Menengah), Pertandingan Pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Kategori Sekolah Rendah) serta Pertandingan Pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Kategori Sekolah Menengah Rendah).
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah untuk Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking bagi Kategori Sekolah Menengah.
Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Menulis Esei Bahasa Melayu dan Esei Bahasa Inggeris bagi Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Menengah Atas.
Baginda juga berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mengarang Sajak bagi Kategori Sekolah Menengah dan Pertandingan Melukis Poster bagi Kategori Sekolah Rendah.
Secara keseluruhan sebanyak 17 kategori dipertandingkan pada tahun ini.
Penganjuran program ini bertujuan untuk membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai identiti nasional dengan pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Prinsip ini mengharapkan rakyat di negara ini mempunyai kesetiaan yang jitu dalam sanubari terhadap raja dan negara.
Justeru, pemenang bagi pertandingan di peringkat sekolah akan dipertandingkan di peringkat daerah dan seterusnya dinilai di peringkat negeri oleh panel hakim yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan negeri Perak.
Seramai 595,493 penyertaan direkodkan pada pertandingan Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara tahun ini yang memasuki edisi keenam penganjurannya.
Jumlah itu meningkat berbanding 564,281 penyertaan pada tahun lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan rasmi UiTM Kampus Tapah