IPOH – Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pemetaan utiliti bawah tanah di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, KUDR akan membantu melancarkan proses pemasangan dan penyelenggaraan utiliti dilakukan secara terancang cekap serta terkawal.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil iktibar berhubung insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
“Kita sebenarnya tidak tahu apa yang telah berlaku sebelum ini. Jurutera atau JKR (Jabatan Kerja Raya) sebelum ini membuat macam di Kuala Lumpur itulah. Mungkin kalau ada sejarah tercatat mungkin kita tahu.
“Kita harap mana-mana jabatan ada benda inilah untuk kita mencari punca jika berlaku.
“Macam kes yang berlaku di situ (Kuala Lumpur) hanya orang lama tahu barangkali apa yang dibina di bawah tanah itu, jadi kita nak tahu itu.
“Tapi di Perak kita dah ada KUDR Koridor untuk pembangunan baharu bawah tanah termasuk juga tanah jerlus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini, pada Isnin.
Pada Jumaat lalu sekitar jam 8.25 pagi, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali sebagai Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ada lubang benam sekitar bandar raya Ipoh, MBI laksana kerja utiliti