KUALA KANGSAR – Seorang lelaki ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Kampung Baru Liman Kati, dekat sini, pada Khamis.
Mayat mangsa berusia 36 tahun itu ditemui pada bahagian dapur rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkta, sebelum itu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan dibantu BBP Lenggong diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Ketika di lokasi pasukan bomba mendapati api yang marak memusnahkan keseluruhan struktur rumah kelas C itu pada kadar terbakar 90 peratus.
“Lelaki yang terperangkap dalam rumah berkenaan ditemui rentung dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut Sabarodzi, pasukan bomba menggunakan tiga aliran dengan hos jarak 100 kaki dari jentera dan pili dalam operasi pemadaman kebakaran rumah itu.
“Ia dilakukan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya, sementara mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Ahmad Izuwan Zakaria itu tamat pada jam 2.15 pagi.
Sementara identiti mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: