TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas minyak masak bernilai RM96,663 dari sebuah premis pemborong minyak masak di Langkap, di sini semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan pada 11 pagi itu, premis berkenaan didapati menyimpan barang berjadual minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan.
Menurutnya, tindakan ini adalah hasil daripada pemeriksaan harian yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ke atas pemborong tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan melalui rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah 23,015 kilogram (kg) melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000 kg.
“Berikutan penemuan tersebut, pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok tersebut dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan.
“Sehubungan itu, kesemua 23,015 kg minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM96,663 telah disita bagi siasatan dan tindakan selanjutnya dilakukan oleh KPDN Perak Cawangan Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak serbu stesen minyak jual diesel lebih 2 sen seliter