IPOH – Program Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) yang kini dijenamakan semula sebagai Jualan Sejahtera Rakyat yang telah memberi manfaat kepada 21,953 penerima dengan melibatkan nilai subsidi RM1.01 juta
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 159 lokasi telah diadakan Jualan Sejahtera Rakyat bagi tempoh Januari sehingga Ogos lalu.
Katanya, penambahan sebuah lagi lori Jualan Sejahtera Rakyat dijangka akan membantu memperluaskan lagi jangkauan program dan membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan dengan harga berpatutan.
“Komitmen berterusan antara Perak SADC dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) untuk memperluaskan bantuan kepada golongan sasar melalui program Jualan Sejahtera Rakyat, diperkukuhkan lagi dengan penyerahan sebuah lori tambahan.
“Sumbangan ini meningkatkan jumlah lori sedia ada daripada tiga kepada empat, dan membolehkan inisiatif murni kerajaan negeri diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya kenyataan itu, pada Rabu.
Penyerahan kenderaan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya, kepada Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Datuk Ismail Saffian dalam satu majlis di bangunan Perak SADC, dekat sini, siang tadi.
Ia disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Kata kenyataan itu lagi, di bawah Jualan Sejahtera Rakyat, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan termasuk beras, minyak masak, dan ayam segar yang dijual pada diskaun sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.
Tambahnya, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan logistik, tetapi juga menekankan peranan penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Saarani memberitahu, kerjasama berkenaan adalah satu lagi langkah positif dalam usaha kerajaan negeri untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Ujar beliau, sinergi itu adalah contoh terbaik bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh berganding bahu untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Pada masa sama, sumbangan lori berkenaan adalah satu penambahbaikan penting dalam memperkukuhkan logistik program di samping memastikan lebih ramai penerima memperoleh manfaat dengan lebih efisien.
“Kerjasama antara Perak SADC dan YBUDR ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen untuk menyokong usaha kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Iaitu mengutamakan agenda Sekuriti Makanan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan berpatutan dapat disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukan,” kata kenyataan sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak SADC tawar 24 ekor lembu, 3,600 ayam pada Jualan Rahmah Aidilfitri
‘Mak cik tak pernah ‘miss’ jualan Kedai Bergerak Negeri Perak’