Jambatan bailey Slim River dijangka siap 16 September

TANJUNG MALIM – Pemasangan jambatan bailey di Jalan Slim River-Behrang Hulu bagi mengantikan jambatan lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air dijangka siap sepenuhnya pada 16 September ini.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muallim, Ir. Yussaime Ahmad Yusuf berkata, kerja-kerja pembersihan sisa yang dibawa kepala air pada 23 Ogos lalu di jambatan lama Sungai Slim kini sudah melebihi 90 peratus.

Menurut beliau, sebelum jambatan bailey dibina beberapa perkara perlu dilaksanakan seperti membersihkan sisa sampah dan kayu yang dibawa kepala air serta mengalihkan tiang utiliti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).

Jurutera Daerah Muallim Ir. Yussaime Ahmad Yusuf. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Kalau kita lihat perkembangan semasa pengalihan tiang TNB sendiri sudah melebih 85 peratus, manakala tiang TM pula akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Bila selesai semua kerja pengalihan tiang utiliti ini kita akan laksanakan kerja-kerja ‘filling’ untuk tapak atau platform jambatan bailey yang mana kita jangka selesai sehingga 9 September,” katanya.

Mengulas lanjut Yussaime berkata, JKR menyasarkan pembinaan jambatan bailey sepanjang 30 meter itu akan bermula antara 7 hingga 9 September ini selepas beberapa kerja seperti tambakan, ‘filling’ dan pembinaan lantai konkrit bagi tapak jambatan selesai.

Pegawai Daerah Muallim Mohd Sabli Bakri bersama Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Ts Suhaizad Sulaiman dan Jurutera Daerah Muallim Ir. Yussaime Ahmad Yusuf memantau kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey menghubungkan Jalan Slim River-Behrang Hulu berikutan runtuhan di puncak Gunung Condong Geliting, merupakan punca berlakunya insiden kepala air di Sungai Geliting dan Sungai Slim di Slim River, pada 23 Ogos lalu. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Kita memerlukan kawasan yang luas untuk membuat kerja-kerja pemasangan yang dijangka boleh disiapkan pada 13 September dan bila siap pasang kita akan buat kerja ‘premix final’ yang mengambil masa dua hari.

“Jadi jambatan bailey ini boleh disiapkan pada 16 September dan InsyaAllah kita jangka pada 17 September ia sudah boleh dibuka kepada umum,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Ts Suhaizad Sulaiman berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat agar memberi masa dan ruang kepada JKR untuk menyiapkan jambatan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Ts Suhaizad Sulaiman. Foto ABDULLAH YUSOF.

Beliau berkata, JKR Perak sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memastikan kerja-kerja pemasangan jambatan bailey tersebut dapat disegerakan.

“Jadi harapnya kita dapat buka jambatan bailey ini pada 17 September dan InsyaAllah sama-sama kita berdoa agar semua kerja lancar dan pastikan pemasangan ini siap dipasang seperti yang dijanjikan,” katanya.

MG Perak pada 24 Ogos lalu melaporkan seramai 175 individu melibatkan 42 keluarga terjejas dalam kejadian kepala air di Slim Village, Slim River.

Insiden tersebut turut memusnahkan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting, Jambatan Lama Sungai Slim, Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kepala air Slim River: Jambatan bailey akan dibina – Saarani

Insiden kepala air Slim River: Perak mohon ihsan kerajaan bina tiga jambatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI