IPOH – Sebuah van yang mengundur secara tiba-tiba mengakibatkan seorang mekanik tersepit dengan dengan sebuah treler sebelum maut di kilometer (km) 286.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara dekat sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian sekitar 1.35 pagi itu, mangsa yang berusia 60 tahun telah turun dari van yang dipandunya untuk membaiki sebuah treler yang rosak.
Katanya, ketika warga emas itu sedang membaiki treler berkenaan, rakan setugasnya yang memandu sebuah van berasingan telah berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Semasa mangsa sedang membaiki treler tersebut, secara tiba-tiba rakan setugas mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun telah mengundurkan van yang dipandunya dengan laju.
“Ia kemudian telah melanggar van mangsa sebelum menyebabkan kenderaan itu menggelongsor ke belakang sebelum menghimpit mangsa yang berada di antara treler dan van.
“Selepas pelanggaran itu berlaku, pemandu van yang melanggar (rakan setugas mangsa) telah bertindak melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujar Abang Zainal Abidin, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara kedua-dua pemandu treler dan sebuah lagi van tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini untuk dijalankan proses bedah siasat.
Jelas beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Masyarakat umum juga dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya.
“Justeru, Polis Ipoh meminta pihak yang menyaksikan kemalangan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Pagi tadi MG Perak melaporkan seorang warga emas maut selepas tersepit antara bahagian hadapan lori dengan belakang van di lebuh raya PLUS.
Mangsa dikenali sebagai Mangsa Mohammad Marinoor Chik, 60. – MG Perak
Artikel Berkaitan: