Sultan Nazrin berkenan rasmi Menara SSM Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di sini, pada Selasa.

Turut berangkat ke majlis di Jalan Basco Kepayang itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak diikuti bacaan al-Quran sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 SEPTEMBER 2024.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berkenan melawat ke ruang pameran yang diadakan di bangunan menara SSM Perak.

Terdahulu dalam sembah ucapan, Armizan berkata, sebanyak 61,692 syarikat di Negeri Perak telah diperbadankan oleh SSM sehingga 31 Ogos lalu.

Katanya, pada masa sama, 795,350 perniagaan serta 1,073 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dari Perak telah didaftarkan dengan suruhanjaya itu dalam tempoh sama.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 26,127 syarikat, 150,397 perniagaan dan 972 PLT adalah aktif.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar pada Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 SEPTEMBER 2024.

“Sebagai salah satu negeri yang pesat membangun di Malaysia, patik yakin bahawa
angka ini akan terus meningkat pada masa hadapan.

“Dan ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih
tinggi bagi mencapai sasaran dan aspirasi kerajaan Negeri Perak serta negara,” katanya.

Mengulas tentang majlis, Armizan berkata, kewujudan Menara SSM Perak bukan sahaja selari dengan visi suruhanjaya, malah ia memperkukuh komitmen SSM dalam menyokong
perkembangan komuniti perniagaan tempatan.

Ujar beliau, Menara SSM Perak juga mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada pelanggan, menjadikannya sebagai pusat utama untuk keperluan entiti-entiti perniagaan di negeri ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar pada Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 SEPTEMBER 2024.

“Ia juga merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan
terbaik untuk rakyat.

“Ia khususnya dalam hal-hal berkaitan pendaftaran entiti perniagaan, pematuhan undang-undang syarikat dan pelaksanaan amalan korporat yang telus dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha gigih kerajaan untuk memastikan setiap aspek pengurusan entiti perniagaan dijalankan dengan penuh berintegriti dan berkesan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, SSM kini memiliki bangunan- bangunan sendiri di pelbagai lokasi strategik, termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur iaitu Menara SSM@Sentral, serta di Melaka, Miri, Sarawak dan kini di Perak.

Pejabat Pendaftar Syarikat (kini SSM) di Perak mula beroperasi di Bangunan Seri Kinta pada tahun 1992 sebelum berpindah ke Kompleks Islam Darul Ridzuan dengan dikenali sebagai Pejabat Pendaftar Perniagaan setahun kemudian.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak, di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 SEPTEMBER 2024.

Pada tahun 2000, pejabat itu berpindah ke Bangunan Persekutuan Ipoh sebelum berpindah lagi ke bangunan pasar raya Angsana Mall pada tahun 2004.

SSM Perak kemudian berpindah ke bangunan milik sendiri iaitu Menara SSM Perak yang mana ia mula beroperasi pada 6 Disember 2021.

Menara SSM Perak yang berkeluasan 175,853 kaki persegi itu dilengkapi pelbagai infrasruktur seperti parkir, kedai serbaneka, kafe dan surau, di samping mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.

Menara setinggi 10 tingkat itu turut menawarkan perkhidmatan di tingkat bawah dengan kekuatan 49 warga kerja SSM.

Pada masa sama, Menara SSM Perak turut menjana pendapatan dengan menyewakan tingkat-tingkat lain dan sehingga kini dua jabatan telah beroperasi di bangunan itu, iaitu Jabatan Akauntan Negara serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Perak (JPPH). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Anggota tentera perlu pegang prinsip Kepercayaan kepada Tuhan – Sultan Nazrin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI