IPOH – Segelintir golongan elit di negara ini diingatkan untuk tidak terlalu taasub dengan bahasa Inggeris dengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah dalam penguasaan Bahasa Melayu sepatutnya berlalu, namun masih terdapat segelintir elit yang terlalu ghairah dan obses dengan bahasa Inggeris.
Katanya, tanpa meremehkan kepentingan bahasa Inggeris, golongan itu sepatutnya tidak mempunyai perasaan fobia dengan bahasa sendiri dengan seolah-olah menganggap kejayaan atau kepintaran itu hanya lahir melalui bahasa Inggeris.
“Saya mengingatkan elit yang terlalu taasub dengan bahasa Inggeris ini, bahawa mereka hidupnya di Malaysia. Mereka mungkin dibesarkan di London, tapi saya nak ingatkan mereka hidup di Malaysia.
“Dan mereka bertanggungjawab di kalangan kelompok elit kecil, tapi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.
Selain itu Anwar berkata, kedudukan Bahasa Melayu tidak sama dengan bahasa lain kerana ia termaktub dalam Perlembagaan dan ‘lingua franca’ dalam kalangan masyarakat.
Kata beliau, justeru sekolah-sekolah aliran vernakular dan pihak swasta diingatkan untuk tidak sama sekali mengurangkan penekanan Bahasa Kebangsaan dengan baik
Tegas beliau, walaupun penguasaan bahasa Inggeris, Cina, Tamil mahupun Arab penting dalam mendepani dunia yang mencabar, namun tidak ada mana-mana negara meningkat maju yang menyisihkan bahasa utama mereka.
“Namun ini bukan ‘zero some game’, penekanan penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat perlu, di negara kita dengan tidak meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu yang baik, sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Jadi tidak harus timbul sedikit keperluan dalam hal ini. Sebab itu sektor swasta sama ada di Ipoh atau Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak harus juga memberikan perhatian yang sama.
“Kerana tugas membina bangsa dan negara ini adalah tugas bersama dan bukan hanya tugas Dewan Bahasa dan Pustaka, atau tugas kerajaan semata-mata,” katanya.
Terdahulu Anwar dan tetamu kehormat lain menyampaikan Anugerah Ikon Bahasa kepada tiga penerima iaitu Penyanyi Roslan Madun dan Hazwan Haziq Rosebi serta Personaliti Televisyen, Ahmad Fedtri Yahya.
Turut disampaikan Hadiah Karya Ilmiah 2021/2022 kepada Shamsul Bahari Abd Razak melalui karya ‘Kelulutologi: Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia’, serta Norfishah Mat Rabi melalui tulisan ‘Rawatan Alternatif Untuk Kanak-kanak Autistik’.- MG Perak