IPOH – Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat kes tembakan sehingga menyebabkan seorang individu cedera di Kampung Sumpit Beras, Rantau Panjang dekat Selama Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Selama Superintenden Sarudin Samah berkata bertindak atas maklumat dan risikan, suspek yang juga pemilik kebun sawit itu berjaya ditahan polis semalam.
“Suspek ditahan pada 3 petang dan polis juga menemukan selaras senapang patah di kebun milik suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1971 (Penalti Lebih Berat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarudin berkata kira-kira 7.50 malam pada Jumaat polis menerima maklumat daripada Bahagian Kecemasan Hospital Selama berhubung kejadian seorang lelaki cedera di kaki kiri akibat terkena tembakan.
“Mangsa sebelum itu dipercayai terlibat kegiatan mencuri buah sawit bersama seorang lagi rakannya yang turut ditahan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
“Dengan tertangkapnya suspek maka kes dianggap selesai dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya.
Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan sama ada oleh pemilik kebun berhampiran atau pemburu haram di kawasan berkenaan.
— BERNAMA