IPOH – Akses pesakit di Perak terhadap rawatan kanser prostat menggunakan teknologi High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) kini diperkukuh dengan kewujudan Pusat Kecemerlangan Rawatan HIFU Prostat di Sunway Medical Centre Ipoh (SMCI).
Pusat berkenaan menawarkan teknologi HIFU sebagai salah satu pilihan rawatan bagi pesakit kanser prostat, serta memudahkan mereka untuk mendapatkan rawatan berteknologi tinggi tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar negeri ini.
Pakar Urologi SMCI, Dr L Sivaneswaran berkata, beliau telah menjalankan sebanyak 125 kes HIFU dalam tempoh kira-kira tiga setengah tahun, bermula ketika berkhidmat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Disember 2022.
“Kes-kes tersebut bukan sahaja dilakukan di hospital berkenaan. Kami juga telah melakukannya di Penang dan hospital UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia).
“Kemudian, kami telah pergi ke pusat-pusat perubatan swasta, di mana saya telah pergi ke pusat-pusat dengan mesin yang telah mereka pindahkan.
“Sebelum ini kami hanya menyewa mesin tersebut. Tetapi sekarang, kerana SMCI telah menyediakan mesin ini, kami sedang fokus pada rawatan di sini dan berharap harganya akan jauh lebih rendah daripada yang mereka bayar sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Rawatan HIFU Prostat yang disempurnakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan di SMCI di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi SMCI, Jennifer Soon Mei Ling; Presiden Persatuan Prostat Asia Pasifik (APPS), Profesor Shoji Sunao dan Naib Presiden (Hal Ehwal dan Operasi Klinikal) Sonablate Corporation, David Quigley.
Menurutnya, perkhidmatan HIFU di SMCI mula beroperasi pada 2025 dan hampir 20 kes telah dilaksanakan pada tahun berkenaan.
“Kami mula beroperasi pada tahun 2025 dan telah melakukan hampir 20 kes tahun lalu dan pada tahun ini, kami telah melakukan 20 kes setakat ini,” jelasnya.
Katanya, mesin HIFU yang digunakan di SMCI juga telah beroperasi selama beberapa bulan yang menyokong usaha memperluas akses kepada pilihan rawatan berasaskan teknologi berkenaan di Perak.
SMCI menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang menempatkan Pusat Kecemerlangan Rawatan HIFU Prostat menerusi penggunaan teknologi Sonablate HIFU bernilai RM4 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


