1,000 anggota APM Perak siap siaga hadapi MTL

KAMPAR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak akan menggerakkan 1,000 anggotanya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Pengarah APM Perak Kolonel (PA) Rohaizat Hadli berkata, kesemua aset APM negeri juga bersedia untuk digerakkan ke semua 12 daerah.

“Bagi melancarkan operasi, sebanyak 87 kenderaan darat pelbagai jenis membabitkan lori, kereta pacuan empat roda, ambulans, motosikal, bas serta van, selain 54 kenderaan air melibatkan bot dan ski jet boleh digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan.

“Semua aset ini kita sudah pastikan dapat berfungsi dalam keadaan baik melalui kerja-kerja pembaikan yang selesai kami jalankan diikuti pemeriksaan berkala,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata, demikian selepas meninjau Latihan Pusat Kontinjen APM Perak sempena Himpunan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan dan Latihan Luar Menghadapi MTL 2024 di Kompleks Rakan Muda Kampar.

Rohaizat berkata, pihaknya turut mengenal pasti lebih 110 kawasan berisiko dilanda bencana termasuk banjir, tanah runtuh dan kepala air di seluruh Perak pada MTL tahun ini.

“Kriteria jumlah itu dilihat berdasarkan kajian kes dalam tempoh tiga tahun yang dikumpulkan maklumatnya melalui jabatan teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bahawa kawasan berkenaan perlu diberi perhatian.

“Selain itu kita juga telah jalankan Op Ramah sejak Januari lalu untuk kita kenal pasti ancaman dan risiko ataupun kes kecemasan yang berada pada jarak 10 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pemantauan khusus diberikan terhadap daerah Kinta, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Kerian memandangkan kawasan itu sering dinaiki air setiap kali MTL.

“Kawasan ini kita akan buat pemantauan khusus kerana dapatan yang diterima jumlah tertinggi mangsa terjejas datangnya dari tiga daerah ini terutama Kerian yang bersempadan dengan Kedah dan Pulau Pinang serta bakal menerima taburan hujan yang tinggi.

“Namun begitu, di kawasan berisiko yang lain pemantauan berkala tetap dilakukan bergantung kepada situasi pada waktu itu sama ada memerlukan pertambahan anggota atau sebaliknya,” katanya.

Beliau memaklumkan kesiapsiagaan akan turut melibatkan penglibatan sukarelawan terlatih dan pasukan bantuan pertahanan awam (CDA) dalam komuniti termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengikut keperluan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI