IPOH – Kerja-kerja menaik taraf padang bola sepak di Stadium Perak akan dimulakan selepas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 20 hingga 24 Oktober ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, lantikan kontraktor bagi kerja-kerja berkenaan telah dijalankan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Menurut beliau ia melibatkan baik pulih sistem saliran dan menukar rumput baharu menggunakan geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM500,000.
“Kita beri laluan dahulu kepada Kejohanan Olahraga MSSM dan sebaik sahaja selesai kejohanan tersebut, Stadium Perak akan ditutup untuk kerja naik taraf sistem perparitan dan gantian tumput dijalankan.
“Kita jangka ia mengambil masa siap sehingga Jun 2025 depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak di sini, pada Sabtu.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan.
Mengulas lanjut Khairudin berkata, pihaknya mengambil maklum keadaan padang bola sepak di Stadium Perak yang tidak lagi sesuai digunakan terutama apabila hujan lebat.
Jelas beliau, keadaan itu memaksa baki perlawanan melibatkan pasukan Liga Super Perak dijalankan pada sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
“Kita maklum perkara ini dan bersedia untuk memohon peruntukan lebihan bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Apabila siap kerja naik taraf di Stadium Perak nanti, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan membuat pemeriksaan.
“Sekiranya sistem dan padang sesuai, maka perlawanan Liga Super pada musim akan datang akan kembali bermain di Stadium Perak,” katanya.
Perlawanan pertama Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung adalah pada 19 Oktober ini menentang Sabah FC pada jam 5 petang.
MFL turut menetapkan tarikh baharu perlawanan tertunda antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijalankan di stadium tersebut pada 10 November depan.
Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua negeri yang sudah menerima geran daripada KBS bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri untuk lebih serius menggunakan geran itu berdasarkan skop ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan bagi perjalanan liga pasukan masing-masing. -MG Perak