Sasar 600 pembedahan penggantian sendi lutut melalui sistem robotik

IPOH – Hospital Pakar KPJ Ipoh menyasarkan pelaksanaan sekurang-kurangnya sebanyak 600 pembedahan penggantian sendi lutut melalui kaedah teknologi canggih dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Bhd, Datuk Mohamad Farid Salim berkata, menerusi kaedah robotik Robot Penggantian Sendi Lutut CUVIS (CUVIS Joint), ia menjadikan hospital berkenaan merupakan yang pertama di negara ini mempunyai teknologi tersebut.

pembedahan penggantian sendi lutut melalui sistem robotik teknologi CUBIS Joint Hospital Pakar KPJ farid
Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Bhd, Datuk Mohamad Farid Salim

Katanya, seramai empat pakar bedah ortopedik yang diketuai Dr Loh Choong Sing bertanggungjawab dalam mengendalikan sistem robotik itu sejak dua bulan lalu.

“Dalam tempoh sejak Ogos, kemudahan CUVIS Joint telah membantu Hospital Pakar KPJ Ipoh melaksanakan 29 pembedahan penggantian sendi lutut.

“Justeru, saya merasakan sasaran 600 pembedahan boleh dicapai memandangkan (kemudahan perubatan) di Ipoh, amnya di Perak ini mencakupi (keperluan) hingga ke selatan Pulau Pinang dan Kedah serta utara Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan pelaksanaan sistem robotik CUVIS Joint di Hospital Pakar KPJ Ipoh pada Isnin.

pembedahan penggantian sendi lutut melalui sistem robotik teknologi CUBIS Joint Hospital Pakar KPJ farid
Wakil syarikat dari Korea Selatan sedang memberi penerangan dalam sesi demonstrasi pembedahan penggantian sendi lutut melalui kaedah teknologi robotik CUVIS Joint.

Tambah Mohamad Farid, inisiatif yang dilaksanakan itu mencerminkan transformasi berterusan dalam sektor kesihatan, di mana inovasi terus merevolusikan kemudahan perubatan dalam negara.

Kata beliau, selain daripada pelancongan perubatan, sistem robotik melalui teknologi dari Korea Selatan itu mampu meningkatkan jaminan keselamatan dan ketepatan bagi mana-mana pembedahan sendi lutut.

“Kami percaya sistem robotik ini mampu memberi kesan terbaik dari segi tempoh penyembuhan, ketepatan dan kepantasan masa dalam satu-satu pembedahan yang dilakukan,” katanya lagi.

pembedahan penggantian sendi lutut melalui sistem robotik teknologi CUBIS Joint Hospital Pakar KPJ farid
Antara bahagian pada peralatan Robot Penggantian Sendi Lutut CUVIS (CUVIS Joint).

Mengulas lanjut, Choong Sing sistemberkata, CUVIS Joint itu amat membantu tenaga pakar dalam melaksanakan sebarang prosedur pembedahan penggantian sendi lutut.

Jelasnya, teknologi itu mampu mengurangkan sebarang risiko yang tidak diingini khususnya yang melibatkan kesilapan manusia terhadap pesakit.

“Teknologi ini amat membantu tenaga pakar dari segi konsisten dan mutu dalam pelaksanaan pembedahan berkenaan.

“Dalam erti kata lain, walaupun pembedahan dilakukan sebanyak 10 kali atau 100 kali dalam satu tempoh singkat, hasilnya tetap sama (berbanding dengan kaedah konvensional),” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu lori warga asing sanggup tahan sakit, enggan ke hospital

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI