Kebakaran Arena Square: Penganjur ditahan, tiada lesen guna bunga api

TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran bumbung Dewan Arena Square di Jalan Raja, di sini dipercayai akibat percikan bunga api malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Adnan Basri berkata, suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan sekitar jam 3 petang semalam.

“Siasatan awal bersama forensik bomba di lokasi mendapati, kejadian itu disyaki berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan sehingga mengakibatkan kebakaran di bahagian tersebut.

“Pihak polis mendapati insiden itu berlaku sewaktu acara sambutan hari jadi anjuran seorang individu yang telah menyewa dewan tersebut daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

“Acara tersebut dihadiri kira-kira 500 orang dan penganjur telah menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk tetamu terbabit.

“Bagaimanapun, semakan mendapati penganjur tidak memiliki lesen yang sah untuk penggunaan bunga api dan mercun,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, susulan kejadian itu penganjur acara tersebut telah ditahan semalam dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk mendapatkan permohonan reman pada pagi ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Pada Ahad lalu, sekitar jam 11 malam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran tersebut.

Kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Makmal komputer SMK Bawong terbakar 50 peratus

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI