Musim Tengkujuh: Peka keadaan cuaca, patuhi arahan pihak berkuasa – TPM Zahid

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengikut arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta keluarga berikutan musim tengkujuh yang dijangka bermula hari ini sehingga tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata orang ramai juga perlu cakna dan bersiap siaga sebaiknya bagi menghadapi sebarang keadaan.

Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beberapa episod hujan lebat mungkin mengakibatkan banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, Sarawak serta Sabah.

“Untuk dapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca dan amaran bencana terkini, anda boleh layari laman web rasmi Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) di www.met.gov.my,” menurut catatan itu.

 

Pada 1 Nov, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau musim tengkujuh dijangka bermula pada 5 Nov 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

Semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI