IPOH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah vesel tunda beserta tongkang membawa muatan mineral ‘gypsum’ berharga hampir RM1 juta pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Najhan Azman Hamid berkata, turut di tahan lapan kru warga Indonesia berusia 24 hingga 61 tahun di kedudukan 16.3 batu nautika barat Pulau Terong.
Menurut beliau, penahanan berkenaan dibuat selepas didapati berlakunya kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengecualian penggunaan kru warganegara Malaysia seperti yang telah ditetapkan di dalam lesen perkapalan dalam negeri (eDSL).
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut dikendalikan lapan kru warganegara Indonesia termasuk nakhoda berumur lingkungan 24 Tahun hingga 61 tahun.
“Kru, vesel dan tongkang yang membawa muatan ‘gypsum’ dengan anggaran nilai keseluruhan RM990,000 telah diiringi ke kawasan berlabuh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Najhan berkata, Maritim Malaysia memberi amaran tegas agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil. -MG Perak
Artikel Berkaitan: