IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita dipercayai lemas ketika mandi di sungai bersama ahli keluarga di Sungai Air Berok, Kampung Kerunai Gerik, diteruskan pada pagi Isnin.
Mangsa, Nur Arina Azizan, 20, dipercayai hanyut dibawa arus deras dalam kejadian sekitar jam 3 petang pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi SAR bagi mengesan mangsa diteruskan pada jam 8 pagi melibatkan dua kumpulan.
Menurut beliau, seramai 57 orang terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Unit Anjing Pengesan K9, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan pasukan bomba sukarela (PBS).
“Tindakan ops hari ini dipecahkan kepada dua kumpulan di mana kumpulan satu terdiri daripada tiga anggota dan dua anjing pengesan K9, lima anggota PPDA, tiga anggota BBP Gerik dan 20 anggota PBS Bersama 10 kayak dan dua buah bot.
“Kumpulan ini akan menyusuri sungai bermula dari lokasi mangsa hanyut sehingga ke pertembungan Sungai Beruk dan Sungai Rui.
“Pasukan PPDA bersama K9 akan melaksanakan selaman sekiranya menjumpai kawasan lubuk di sepanjang Sungai Beruk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sabarodzi berkata, kumpulan dua pula terdiri daripada masing-masing empat anggota dari PDRM dan JPAM bersama dua buah bot dan dua anggota BBP Gerik bersama sebuah bot.
“Kumpulan ini akan menyusuri Sungai Rui bermula dari Dataran Loma dan akan naik ke persimpangan Sungai Air Beruk selain melaksanakan pencarian di permukaan serta tebing sungai,” katanya.
Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun dikhuatiri lemas manakala ibunya yang berusia 48 tahun terselamat ketika mandi di sungai bersama ahli keluarga dalam kejadian di Sungai Air Berok, Kampung Kerunai Gerik.
Mangsa dipercayai hanyut dibawa arus deras manakala ibunya diselamatkan orang awam dan dibawa naik ke tebing sebelum ketibaan pihak bomba. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga kakitangan JKR lemas: Polis rakam percakapan 19 individu