KUALA KANGSAR – Industri sawit Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama di dunia yang mengaplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pemprosesan kelapa sawit.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi baharu yang dibangunkan Airei Sdn Bhd itu dilaksanakan di kilang memproses sawit, Minsawi Industries di sini yang telah beroperasi sejak 41 tahun lalu.
Menurutnya, pelaburan untuk menggunakan AI tersebut adalah kira-kira RM5 juta dengan jangkaan penjimatan RM2.6 juta setahun.
“Kita ada 446 kilang sawit (di seluruh Malaysia) tetapi ini adalah kilang sawit pertama yang menggabungkan semua teknologi canggih termasuk AI, sensor dan teknologi berkaitan.
“Menerusi presentation (pembentangan) yang telah dibuat kepada saya, dengan teknologi yang ada di kilang kelapa sawit ini, ia mampu mengurangkan kos operasi (cost overhead) sebanyak 35 peratus.
“Jadi, kalau teknologi ini boleh diguna pakai di semua kilang sawit di negara ini, secara tak langsung boleh mengurangkan pekerja asing hampir 8,000 orang.
“Kalau kilang sebesar ini boleh kurangkan pekerja dan mempunyai kecekapan dari segi pengekstrakan minyak, secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan secara maksimum dari segi pengeluaran minyak sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang minyak sawit berasaskan teknologi AI pertama di dunia di Minsawi Industries, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Johari memaklumkan pihaknya akan menjalankan pemantauan setiap tiga bulan di kilang berkenaan.
Tambahnya, penggunaan AI juga boleh menarik rakyat tempatan untuk terlibat dalam industri sawit dengan penawaran kerja yang berkemahiran tinggi.
“Dalam dunia ini, kita merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia. Apabila hendak menyatakan kita yang pertama yang menggunakan AI, kita mesti dapat lebih ramai kilang-kilang menggunakan teknologi ini,“ katanya.
Sehubungan itu, Johari turut memberi cadangan supaya 185 kilang-kilang yang telah lama beroperasi menaik taraf fasiliti masing-masing supaya menggunakan pakai teknologi moden termasuk AI mengikut piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harga minyak sawit kekal stabil antara RM3,850 hingga RM 4,050