IPOH – Bangunan baharu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Meru Raya di sini, siap dibina dengan kos dianggarkan sebanyak RM58 juta.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kompleks yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 2.5 hektar itu siap dibina pada Mac lalu sebelum diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kompleks ini telah beroperasi secara berperingkat dan pengoperasian penuh dijangka bermula pada awal Jun depan.
“Oleh itu, bangunan lama JPN Perak (di Jalan Tun Abdul Razak) akan diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Bangunan Baharu Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Meru Raya, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengarah Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar, serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Ibrahim Esa.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata reka bentuk kompleks itu turut menggabungkan elemen yang mencerminkan identiti budaya di negeri Perak.

Ujar beliau, ia termasuk kepada struktur ikonik yang berinspirasikan kepada seni rumah tradisional Perak pada bahagian binaan pintu masuk.
“Ini adalah hasil sinergi kukuh antara Kementerian Pendidikan dan JKR dalam memastikan kemudahan pendidikan bukan sahaja berfungsi dengan baik, malah selamat serta menyokong keperluan pembelajaran.
“Kompleks ini dilengkapi kemudahan termasuk makmal komputer, bilik seminar, ruang kaunseling, dewan utama serta pejabat pentadbiran,” katanya lagi.

Terdahulu, Ibrahim dalam ucapannya berkata, Kompleks Pendidikan Negeri Perak dibangunkan dengan tiga blok bangunan yang kesemuanya mampu menampung kapasiti 400 orang.
Menurut beliau, selain reka bentuk fasad dan kontemporari, kompleks berkenaan turut dilengkapi dengan Rainwater Harvesting System atau Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai usaha menyokong pengurusan sumber air yang mampan.
“Kompleks Pendidikan Negeri Perak terdiri daripada tiga blok bangunan pentadbiran masing tujuh tingkat, empat tingkat dan enam tingkat.
“Secara keseluruhannya, projek pembinaan bangunan ini telah dibuat secara ‘commissioned-produce’ dan kontraktor yang dilatih adalah Sunissa Sdn Bhd,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


