TELUK INTAN – Seorang pekerja kantin sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada Jumaat atas pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulhakimi Husaini Zulkifli, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara meraba dan memegang dada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 1.30 tengah hari di simpang tiga Jalan Kampung Redang Punggor Chederong Balai, 10 November lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan ia memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal, manakala tertuduh diwakili peguam, Faustina Francis.
Hakim Norhamizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali serta tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret Teluk Intan, lelaki itu berhadapan pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya dengan cara menyalahi undang-undang.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, pada jam 10.20 malam, 12 November lalu.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) yang memperuntukan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pendakwaan itu dibaca bersama Seksyen 38b(1) akta sama yang memperuntukan tertuduh menjalani pengawasan antara dua tahun dan lima tahun.
Pendakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad, manakala tertuduh diwakili peguam, S Kumaresan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Januari tahun hadapansebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan patologi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: