IPOH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersetuju parti itu menyuburkan program pengkaderan dan pemahaman politik dalam kalangan anak muda di negeri ini.
Menurut beliau, ia bertujuan memberi keyakinan kepada golongan muda bahawa idea dan pandangan mereka benar-benar didengar dan dihargai.
Jelas Saarani lagi, situasi berkenaan turut memberi ruang dan peluang kepada golongan muda memahami dasar-dasar kerajaan, selain menyelami peranan penting BN dalam mencorakkan masa depan negeri dan negara.
“Seperti yang disebut oleh saudari S. Geethamalar (MIC) bahawa rakyat terutamanya generasi muda bukan sahaja perlu disiapkan dengan ilmu dan kemahiran, tetapi mesti diyakinkan bahawa kerajaan yang ada hari ini benar-benar mampu mencipta masa hadapan yang cerah kepada mereka.
“Perkara ini juga disentuh dengan baik oleh saudara Neow Choo Seong (MCA) dan saudara Ariff Zaky Zolkafly (UMNO).
“Kedua-duanya menyarankan lebih banyak ruang diberi kepada anak muda dalam mengekspresikan idea dan pandangan selain lebih banyak tempat diberi kepada anak muda untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Konvensyen Barisan Nasional Negeri Perak 2024, di Hotel Casuarina @ Meru, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy.
Menmbentang lanjut, Saarani berkata, pihaknya memahami akan keperluan supaya kerajaan sentiasa berantisipasi terhadap tuntutan anak muda supaya mereka diberi seluas-luas peluang untuk terlibat dalam agenda pembangunan.
Jelas beliau, Perak mempunyai anak-anak muda yang kaya dengan idea-idea segar dan sentiasa mempunyai daya pemikiran yang boleh memberi penyelesaian dalam hal-hal yang menyentuh cabaran masa depan.
Bagaimanapun beliau menyuarakan kebimbangan bagaimana kaedah yang harus digunakan dalam menghapuskan skeptikal golongan muda terhadap politik dan pemerintahan.
“Golongan muda semakin kehilangan kepercayaan terhadap politik dan ahli politik. Mereka adalah golongan yang tidak mudah dilenturkan dengan retorik politik. Mereka mahukan politik realiti – politik yang mereka boleh lihat dan rasai.
“Ini dibangkitkan oleh saudari Jamilah Zakaria dan saudara moderator, Shafik Fadhly Mahmud dalam forum sebentar tadi.
“Saya fikir, senario ini memerlukan tindakan konkrit kerajaan untuk menggambarkan bahawa kita benar-benar mampu mencetus pembaharuan dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh orang muda,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: