Program Bandar Pintar antara fokus baharu PBT

TAIPING – Program Bandar Pintar antara fokus baharu yang akan dilaksanakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Perak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pada masa ini kerajaan negeri dalam usaha menyiapkan dan melancarkan ‘Blueprint Smart City 2040’.

Menurutnya, setiap tahun fokus untuk melaksanakan projek, program dan tugas PBT juga semakin bertambah dan memang terdapat peningkatan peruntukan pada Belanjawan Perak 2025.

“Bersesuaian dengan itu, kita ada penambahbaikan dari segi kempen, program dan infra untuk membantu PBT supaya mereka dapat mengadaptasi dan mengambil langkah yang penting dalam melaksanakan bandar pintar.

“Selain itu, program Komuniti Sejahtera juga akan dilaksanakan dengan penambahbaikan infra di semua PBT di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Bersama Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perasmian Program Tuisyen Percuma di PPR Pangsapuri Simpang Perdana, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir bin Mohamad Zubir.

Program Bandar Pintar antara fokus baharu PBT
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching bermain bowling buah kelapa pada Program Bersama Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perasmian Program Tuisyen Percuma PPR Pangsapuri Simpang Perdana, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 NOVEMBER 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Shy Ching berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan program pemandulan haiwan peliharaan ‘Perak Pawsitive Initiative‘ di daerah lain.

Katanya, menerusi program perintis yang dijalankan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) pada September lalu melibatkan 93 ekor anjing disusuli program di bawah Majlis Daerah Tanjung Malim membabitkan 200 ekor kucing.

“Tahun depan ada dikhususkan kempen ‘Perak Pawsitive Initiative‘ iaitu inisiatif yang bertujuan untuk menangani isu haiwan jalanan yang menjadi perhatian komuniti.

“Program ini memfokuskan kesedaran dengan mengadakan pemandulan bersubsidi untuk menggalakkan pemunya haiwan memainkan peranan memandulkan haiwan peliharaan mereka dengan subsidi daripada kerajaan.

“Kita berharap wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh bekerjasama menjayakan program tersebut supaya boleh mengawal populasi haiwan jalanan yang dilihat agak merisaukan buat masa ini,” jelasnya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi pembentangan Belanjawan Perak 2025 mengumumkan sebanyak RM1 juta diperuntukkan 2025 bagi melaksanakan program baharu di bawah PBT.

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk program Komuniti Sejahtera bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kesejahteraan komuniti diikuti RM200,000 bagi Pelbagai Program Bandar Pintar.

Selain itu, RM150,000 diperuntukan bagi Program Pawsitive Peringkat Negeri Perak dan Program Kolokium sebagai platform perkongsian ilmu dalam kalangan PBT. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2025: Lima program baharu perkasa PBT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI