BAGAN DATUK – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan warga Myanmar Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot itu ditahan di kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Sungai Tiang, Perak dekat sini.
Menurutnya, vesel terbabit dikesan ketika sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi bot ronda yang sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit disyaki melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan selain kru disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan kurang dari 15 batu nautika dari daratan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit ditahan manakala vesel dan hasil tangkapan termasuk peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: