IPOH – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang cuba mengaitkan kes mahkamah Tun Musa Aman dengan pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 serta kononnya wujud campur tangan perdana menteri.
Anwar berkata, soal pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) di negeri itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Negeri Sabah serta diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Memang dalam bidang kuasa negeri, dan Yang di-Pertuan Agong. Apakah Perdana Menteri tidak tahu? Perdana Menteri tahu.
“Dan hal ini memang dirujuk (kepada saya). Tetapi Perdana Menteri yang tahu (perkara pelantikan TYT) ini pun tahu perlembagaan dan batasannya.
“Setelah Yang di-Pertuan Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan itu dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Yang di-Pertua Negeri yang baik untuk Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut Anwar berkata, keputusan melepas dan membebaskan Musa juga dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 2020.
“Keputusan melepaskan beliau itu dibuat pada tahun 2020 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri. Apa isu dia? Melalak seolah-olah jadi masalah. Ada kes dibawa, Tak ada kes, ditutup,” jelasnya lagi.
Anwar terdahulu ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Lim Kit Siang: Malaysian First di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang serta Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Buku yang dihasilkan penulis, Kee Thuan Chye itu merupakan biografi yang menceritakan perjalanan karier politik Kit Siang sejak tahun 1969.
Sebelum ini terdapat pihak yang menimbulkan isu berkaitan pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan mengaitkan isu tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram lampau beliau.
Media melaporkan, Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz mengkritik tindakan Anwar kerana dilihat semakin membelakangkan agenda reformasi sehinggakan Musa yang terpalit pelbagai kontroversi dilantik sebagai TYT Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa turut melabelkan Anwar sebagai Perdana Menteri hipokrit kerana memberikan jawatan tinggi kepada individu yang beliau sendiri pernah gelarkan perasuah.
Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Beliau yang berusia 73 tahun dilantik jawatan itu mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun sehingga 31 Disember 2028. – MG Perak
Artikel Berkaitan: