INDUSTRI perkayuan yang saling berkait rapat dengan pembuatan perabot berpotensi mendatangkan keuntungan kepada usahawan yang menceburi bidang berkenaan.
Bagaimanapun, industri ini kurang mendapat tempat dalam kalangan usahawan Bumiputera yang rata-rata lebih berminat untuk menceburi industri lain.
Justeru, Pengarah V Products Sdn Bhd (V Products), Mustafar Rahadi, 53, mencabar dirinya menceburi industri tersebut dengan membuka kilang perabot berasaskan kayu di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Pusing.
Anak kelahiran Felda Ijok, Selama ini mula meminati bidang perkayuan sejak di bangku sekolah dan giat mendekati kilang atau stor yang menjalankan pembuatan kayu bagi mendapatkan ilmu lebih mendalam berhubung industri itu.
“Pada mulanya, bidang perkayuan adalah minat saya daripada sekolah. Selepas saya berhijrah dan bekerja saya mula mendekati kilang atau stor yang melibatkan pembuatan kayu.
“Apabila saya mendapat peluang, saya memberanikan diri untuk membuka kilang yang diambil alih daripada pemilik asal pada tahun 2017 dan menjenamakan semula sebagai V Products Sdn Bhd.
“Bermula dari bawah, kilang ini menghasilkan produk kerusi untuk sekolah tadika secara kecil-kecilan dan lama-kelamaan apabila mendapat bantuan sumber kewangan dan simpanan akhirnya produk berasaskan kayu yang dihasilkan menjadi skala lebih besar.
“Sekarang produk utama yang dihasilkan adalah perabot untuk sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan kami turut mengeluarkan perabot kayu untuk sekolah agama, tadika serta taska,“ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jual produk menerusi platform online pada 2021
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu pada peringkat awal hanya mempunyai satu kilang untuk menjalankan operasi.
Katanya, selepas mereka mula menjual produk menerusi platform dalam talian (online) di bawah jenama VP Sdn Bhd, beliau membuat keputusan untuk membeli sebuah lagi kilang untuk dijadikan stor simpanan dan tempat pembungkusan bagi memudahkan penghantaran produk online tersebut.
“Alhamdulillah, untuk penjualan sekarang amat menggalakkan penender-penender pun banyak datang ke kilang ini untuk membeli dan kadang-kadang untuk melihat produk kami.
“Bila hendak buat produk sekolah kerajaan atau IPT, ia mesti mengikut kualiti yang diarahkan seperti penggunaan kayu contohnya kayu balau merah ataupun kayu getah.
“Itulah kayu yang digunakan di sini kerana mempunyai kualiti yang baik dan tahan lama,“ jelasnya.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, produk kayu yang dijual di platform dalam talian turut mendapat sambutan dan produk terlaris adalah set rehal dan kerusi boleh lipat dengan peningkatan jualan 100 peratus sejak platform tersebut diperkenalkan tiga tahun lalu.
“Jualan produk di platform online Shopee bermula sejak 2021 dan jualan menjadi lebih baik serta stabil setahun selepas itu.
“Hasil jualan online pula secara purata mencecah RM3,000 sehari dan kami turut mendapat penilaian lima bintang daripada pelanggan yang membeli di platform tersebut,” ujarnya.
Memandangkan V Products menjual barang secara dalam talian dan melibatkan platform media sosial, beliau memaklumkan setiap produk yang dikeluarkan akan didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
“Alhamdulillah, nama Al-Wafiq sudah mendapat kelulusan pada 28 September lalu dan produk ini adalah jenama untuk rehal keluaran kami,“ katanya.
Terima pinjaman kewangan daripada Yayasan Perak
Beliau berkata, syarikat tersebut turut mendapat bantuan pinjaman kewangan tanpa faedah sebanyak RM20,000 daripada Yayasan Perak dan mereka juga dalam proses untuk memohon pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Sebelum itu pada peringkat awal, saya ada buat pinjaman TEKUN Nasional dan Alhamdulillah pinjaman itu sudah selesai dan itulah tapak saya mula berniaga.
“Saya amat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak kerana memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk membuat pinjaman dan memberi latihan terutamanya Yayasan Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
“Mereka selalu menghantar mesej untuk hadir kursus-kursus perniagaan dan juga kursus melibatkan media sosial. Jadi, selalunya saya akan hadir untuk mendapat ilmu bagi memperluaskan lagi perniagaan,“ katanya.
Walaupun sibuk mengusahakan perniagaan tersebut, Mustafar tidak lupa untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
Ujarnya, antara sumbangan diberikan adalah 40 set kerusi dan meja bagi kegunaan murid sebuah sekolah agama di Melaka.
“Sebelum ini, kami selalu memberi sumbangan kepada majlis daerah, surau dan masjid set rehal yang mempunyai 20 rehal untuk kegunaan mereka,“ jelasnya.
Bantu lepasan GiatMARA naik taraf kemahiran
Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Mustafar berhasrat untuk membawa pelajar-pelajar lepasan GiatMARA ke kilang tersebut bagi memberi peluang mereka menaik taraf sijil diperoleh.
“Di samping itu, mereka bolehlah mengeluarkan sekurang-kurangnya satu produk dan boleh bersama kami dalam jualan online. Jadi kami akan panggil tenaga pengajar yang bertauliah untuk memberi latihan kemahiran bagi menaik taraf sijil mereka.
“Buat masa ini, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: