Projek RTB di Gerik dijangka mula awal 2025 – Salbiah

GERIK – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di parlimen ini bakal dimulakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Januari 2025 dengan peruntukan RM74 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed berkata, projek yang diluluskan pada 2019 itu merupakan antara yang ditunggu-tunggu penduduk bagi mengatasi masalah banjir di Gerik.

“Isu banjir merupakan antara keutamaan kita dan semenjak saya menjadi wakil rakyat lagi kita memastikan isu banjir di Pekan Gerik dapat diselesaikan.

“Alhamdulillah ketika itu, sekitar 2019 kita memperoleh kelulusan daripada JPS dengan peruntukan RM74 juta bagi tebatan banjir di Gerik.

“Mungkin ada sedikit kelewatan tapi saya dimaklumkan JPS kemungkinan InsyaAllah awal Januari 2025 projek tebatan banjir Gerik akan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir bersama Pengarah SKM Negeri Perak, Zuhaini Romli, pada Program Dari Mata Turun Ke Hati, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cakna Komuniti: ‘SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, di sini, pada Selasa.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed bersama sukarelawan membawa barang bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini pada Program Dari Mata Turun Ke Hati, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cakna Komuniti: ‘SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 DISEMBER 2024.

Tambah beliau, pihaknya berharap dengan pembinaan projek RTB di Gerik itu ia akan menyelesaikan isu banjir terutamanya banjir kilat di pekan tersebut serta kampung-kampung yang terkesan.

Sementara itu, mengulas mengenai ‘SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani’, Salbiah berkata, seramai 30 buah keluarga dari empat kampung di DUN Temengor menerima bantuan pasca banjir.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak berkata, kesemua mangsa banjir tersebut merupakan penduduk Kampung Kerunai, Kampung Jong, Kampung Padang Langgar dan Kampung Padang Stang.

“SKM Perak melalui Skuad Ihsan Madani menghantar bantuan kepada 30 mangsa banjir yang terkesan baru-baru ini di mana banjir menyebabkan kerosakan dalam rumah seperti perabot, peralatan elektrik, bantal, tilam dan sebagainya.

“Saya selaku ADUN kawasan ingin merakam ucapan ribuan terima kasih kepada SKM Perak yang telah mengambil inisiatif untuk cakna terhadap mangsa banjir di kawasan saya,” katanya.

Tambah Salbiah, selain SKM Perak yang menyumbangkan bantuan berbentuk tilam, toto dan bantal Sekretariat Pembangunan Wanita Perak juga turut terlibat menyumbang bantuan berbentuk makanan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perlu RM640 juta laksana rancangan tebatan banjir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI