KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak mempolitikkan konflik Palestin-Israel dan mengizinkan isu itu dipergunakan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat di Malaysia.
Anwar berkata rakyat pelbagai kaum di negara ini sepatutnya melihat konflik itu dari sejarahnya dan isu kemanusiaan membabitkan penduduk Palestin yang inginkan kemerdekaan daripada penjajahan Israel.
“Saya juga ambil kesempatan untuk menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan serta jangan jadikan isu ini yang membedakan sikap kita tentang apa itu kemerdekaan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu perkembangan lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Anwar berkata isu Palestin sememangnya sangat dekat dengan umat Islam namun dalam masa yang sama ia melibatkan isu kemanusiaan yang perlu didedahkan kepada rakyat untuk menambah pengetahuan mereka.
“Jadi saya harap kita ambil kesempatan ini untuk mendedahkan maklumat kepada rakyat sebab itu saya menyokong gesaan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) supaya itu digalakkan pelajar untuk mengikuti perkembangan yang berlaku.
“Tentu kita ada garis panduan, jangan kita seolah-olah galakkan sikap kebencian sesama mereka tetapi pencerahan, kefahaman tentang apa yang berlaku, kezaliman, penindasan, apa itu perampasan,” kata beliau.
Mengenai tekanan dan ugutan, Anwar berkata Kementerian Luar menerima tiga ‘demarche’ (tatatindak) daripada kerajaan Amerika Syarikat pada 13, 18 dan 30 Okt lepas yang meminta negara tidak meneruskan pendirian terutama keengganan Malaysia untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia menyokong cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat tergempar Ketua-Ketua Negara Islam bagi membincang isu Palestin dengan lebih mendalam.
“ Saya telah meminta Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk menghubungi Turkiye dan Arab Saudi untuk menyatakan ada kewajaran untuk adakan sidang tergempar itu yang melibatkan juga negara-negara seperti Brazil, Rusia dan China yang menyatakan sikap yang agak tegas menentang keganasan Israel,” kata beliau.
— BERNAMA