TAPAH – Yayasan Perak telah meluluskan sebanyak 17 permohonan projek bina baharu dan 120 kerja baik pulih kediaman golongan memerlukan di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.
Eksekutif Pembangunan Sosial Yayasan Perak, Muhammad Azri Mohammad Fuzi berkata, ia merupakan inisiatif di bawah Program Sayangi Rumahku yang melalui peruntukan sebanyak RM2.7 juta.
“Berhubung 17 projek bina baharu rumah, ada antaranya masih dalam pembinaan dan ada juga yang telah siap dibina di seluruh daerah di Perak.
“Sementara bagi kategori baik pulih, antara kerosakan utama yang diselesaikan melibatkan kerosakan pada bumbung yang reput dan berlubang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan kunci Program Sayangi Rumahku Yayasan Perak di di Kampung Baru Bukit Pagar, dekat sini, pada Khamis.
Ia disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng.
Pada majlis Tham Seng Chong, 63, menerima rumah baharu selepas kediaman asal musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lalu.
Dalam pada itu Muhammad Azri berkata, Yayasan Perak sentiasa bersedia menjadi agensi di hadapan dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Sayangi Rumahku Yayasan Perak adalah program diwujudkan bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini dengan menyediakan kemudahan asas dan kediaman selesa.
Ia berkonsepkan bantuan perumahan tanpa bayaran sama ada baik pulih atau bina baru rumah khusus kepada golongan sasar.
Antara syarat permohonan adalah penerima harus berdaftar dengan program E-Kasih selain perlu berusia 45 tahun ke atas dan menetap atau bermastautin melebihi 10 tahun di Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mangsa kebakaran terima rumah baharu sifatkan raya Cina amat bermakna