MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melantik 24 Ahli Majlis sebagai pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) di zon masing-masing, pada Khamis.
Dalam satu kenyataan MPM memaklumkan, ia adalah usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam memperkasakan peranan JKP sebagai agen perubahan komuniti ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Katanya, melalui usaha itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan MPM kepada setiap zon JKP bagi pelaksanaan pelbagai program yang berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
Tambahnya lagi, kesemua ahli majlis dilantik sebagai pengerusi JKP menerusi sesi lafaz ikrar pada Konvensyen Jawatankuasa Penduduk yang dirasmikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
“Peruntukan itu juga bagi membolehkan JKP melaksanakan inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk berdasarkan kepada beberapa skop.
“Antaranya, perbandaran bersih, perbandaran indah, perbandaran penyayang, perbandaran pro-aktif, perbandaran prihatin dan perbandaran selamat.
“Di samping itu, konvensyen berkenaan diadakan sebagai mahu memperkukuhkan peranan JKP sebagai platform penyelesaian isu komuniti, selain menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut MPM, selain penubuhan JKP, antara agenda utama lain pada Konvensyen Jawatankuasa Penduduk itu adalah sesi taklimat berkenaan Manjung menuju bandar pintar, penguatkuasaan, pelesenan, dan sebagainya.
Justeru katanya, turut dilancarkan pada konvensyen sama adalah Pelan Tindakan Bandar Pintar Manjung (PTBP) 2035 yang telah mendapat kelulusan pada Mesyuarat Pembangunan Mampan dan Bandar Pintar Manjung 2035, Jun lalu.
“Pelan itu merupakan dokumen komprehensif dan bersasar yang didorong oleh visi menjadikan Manjung sebagai bandar pelancongan dan maritim yang inklusif, maju, mampan, serta pintar menjelang tahun 2035.
“Pelaksanaan dan penerapan konsep bandar pintar ini adalah seiring dengan wawasan yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perak 2040 dan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sandrea ketika berucap pada konvensyen berkata, konsep bandar digital bukan sekadar slogan, sebaliknya ia adalah pendekatan holistik yang menggabungkan antara teknologi digital dengan kehidupan penduduk.
Justeru beliau berkata, JKP harus menjadi penggerak utama dalam mendidik masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang usia untuk bersedia menerima perubahan itu secara terbuka.
“Pendekatan dan strategi JKP perlu sentiasa dinamik dan relevan mengikut keperluan semasa. Program dan aktiviti tidak boleh lagi bersifat ‘ad-hoc’ atau memenuhi keperluan jangka pendek semata-mata.
“Sebaliknya, setiap gerak kerja perlu dirancang secara teliti berdasarkan data dan profil kawasan yang tepat, kerana setiap komuniti mempunyai keunikan dan cabaran tersendiri,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MPM larang aktiviti air susulan penampakan buaya di Pantai Teluk Batik