KUALA LUMPUR – Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah RM10.7 bilion melibatkan 1.16 juta peminjam sehingga 31 Ogos lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan diambil dalam memastikan kelestarian dana jangka panjang model
perniagaan PTPTN.
Antaranya kata beliau, memperkukuh pengurusan pinjaman dengan menambah baik terma dan syarat pinjaman agar lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan berdasarkan kemampuan PTPTN.
“Selain itu, meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui pelaksanaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan korporat.
“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin terhadap peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman mereka.
“PTPTN sentiasa terbuka dan mengalu-alukan peminjam berkenaan untuk tampil membuat perundingan seterusnya menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman mereka mengikut kemampuan, atau membuat penangguhan bayaran balik pinjaman mengikut kelonggaran yang dibenarkan oleh PTPTN,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias ((Jelebu) menyatakan berapa jumlah terkini hutang peminjam PTPTN dan apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan semula bayaran balik pinjaman ini. – MalaysiaGazette


