Krisis Rohingya: Jika tolak rundingan, apa jalan penyelesaian? – AMK

KUALA LUMPUR – Biro Hubungan Antarabangsa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mempersoalkan pendirian Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang membantah usaha kerajaan menjemput Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia untuk rundingan berkaitan krisis di negara itu.

Dalam kenyataan hari ini, AMK berkata, pendirian berkenaan dilihat bercanggah dengan gesaan supaya Malaysia dan ASEAN memperhebatkan usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian politik dan keamanan di Myanmar.

“Persoalannya, bagaimana diplomasi mahu dipertingkatkan jika ruang rundingan itu sendiri mahu ditutup?” katanya.

Sayap PKR itu merujuk kenyataan Ahmad Tarmizi yang berkata  langkah sedemikian boleh menjejaskan prinsip Malaysia dalam memperjuangkan hak asasi manusia, selain memberi kesan buruk kepada imej negara di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, AMK berkata, rundingan bukan suatu bentuk pengiktirafan, sebaliknya menjadi saluran untuk Malaysia menyampaikan pendirian dan tuntutan secara langsung kepada pihak yang berkepentingan dalam konflik Myanmar.

“Rundingan bukan suatu bentuk pengiktirafan. Duduk semeja dengan pihak yang kita tidak persetujui tidak bermaksud Malaysia merestui tindakan mereka.

“Sebaliknya, diplomasi diperlukan kerana terdapat konflik yang perlu diselesaikan dan kepentingan negara yang harus dipertahankan,” katanya.

Menurut AMK, Malaysia tidak pernah bersetuju dengan keganasan, penindasan atau pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Myanmar, termasuk etnik Rohingya.

Katanya, ketegasan terhadap prinsip tidak seharusnya menghalang penggunaan saluran diplomasi untuk mencari jalan keluar daripada kemelut berkenaan.

AMK berkata, penyelesaian krisis Rohingya juga tidak boleh hanya tertumpu kepada proses penghantaran pulang, sebaliknya punca yang menyebabkan mereka meninggalkan Myanmar perlu ditangani.

“Malaysia perlu menggunakan ruang diplomasi ini untuk membawa tuntutan yang jelas terus kepada Presiden Myanmar yakni hentikan keganasan, lindungi orang awam, benarkan bantuan kemanusiaan dan laksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya.

Sehubungan itu, AMK mahu Ahmad Tarmizi menjelaskan alternatif sekiranya rundingan tidak dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada krisis berkenaan.

“Di sini Ahli Parlimen Sik wajar menjawab satu persoalan: Jika bukan rundingan, apakah jalan penyelesaian yang anda tawarkan?” katanya.

AMK berkata, krisis Myanmar bukan lagi isu yang hanya memberi kesan kepada negara itu kerana kesannya turut dirasai Malaysia, termasuk dari sudut kemanusiaan susulan kehadiran pelarian Rohingya.

“AMK percaya bahawa Malaysia tetap tegas pada prinsip, terbuka kepada rundingan dan fokus kepada penyelesaian. Syabas kerajaan atas usaha yang giat dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI