Tindakan OKU dipukul tidak wajar – Salbiah

GERIK – Insiden seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul di pasar tani di Terengganu baru-baru ini seharusnya tidak berlaku dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebaliknya masyarakat perlu lebih rasional dalam berhadapan dengan sebarang isu berkaitan golongan OKU.

“Apa juga kesalahan yang didakwa dilakukan oleh individu OKU itu saya kira ia tidak setimpal dengan tindakan-tindakan yang dibuat oleh komuniti (pihak terlibat) yang berada di sekitar (ketika kejadian itu).

“Kita tidak tahu apa isu sebenar berlaku di lapangan, namun saya ia melihat daripada segi sudut orang yang sempurna dengan orang yang kurang sempurna.

“Sepatutnya mereka yang lebih sempurna (fizikal dan mental) boleh menangani sebarang isu dengan lebih rasional dan waras. Jadi kita sedih apabila isu seperti itu berlaku dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Training of Trainers Community Empowerment anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Perak di Dewan Mahkamah Syariah Gerik, pada Selasa.

OKU dipukul masyarakat Salbiah golongan rasional isu pengurusan
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sidang media program ‘Training of Trainers (TOT) Community Empowerment’ anjuran AADK Hulu Perak di Dewan Mahkamah Syariah Gerik, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JANUARI 2025.

Salbiah diminta mengulas berkenaan laporan media tentang insiden lelaki OKU yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu, Jumaat lalu.

Mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal sebelum itu dikatakan melanggar sebuah gerai jualan di situ.

Pelanggaran itu menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera selain video insiden itu tular serta mengundang pelbagai reaksi awam.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Mengulas lanjut Salbiah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kurang cakna terhadap pengurusan OKU oleh segelintir anggota masyarakat menjadi antara salah satu sebab mengapa insiden itu berlaku.

Justeru beliau memberitahu, golongan OKU sewajarnya disantuni dengan sebaik mungkin dan mengelakkan daripada insiden kekerasan itu terus berulang di tempat lain.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai agensi bertanggungjawab sentiasa memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pengurusan OKU.

“Ini kerana pengurusan golongan rentan itu memerlukan ilmu di samping kesiapsiagaan daripada segi kawalan emosi dan sebagainya,” jelas beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kes pukul OKU tidak boleh jadi alasan untuk sesiapa bersikap kejam – Syaheera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI