Homestay Labu Kubong raih pelbagai anugerah, tarik pelancong Eropah

SUASANA kabus pada pagi, dan pemandangan hijau bukit melatari kampung tradisi di Homestay Labu Kubong, Kuala Kangsar, yang berada berhampiran sawah padi cukup memukau buat sesiapa yang kali pertama menjejakkan kaki ke sini.

Keunikan itu telah membawa kepada gelaran seperti Kundasang atau Bali di Perak yang diberi pelayar internet setiap kali gambar dan video kampung berkenaan melalui laman-laman utama media sosial.

Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar pelancong pengunjung Meor Samsudin koperasi inap desa
Kanak-kanak mandi-manda di tali air sekitar Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.
Temubual Pengerusi Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar, Meor Samsudin Abu Hassan, 69, dan Pengurus Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar, Noorshazlin Meor Samsudin, 33. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Tidak hanya cukup di situ, sesiapa yang berkunjung ke situ juga boleh merasai pelbagai aktiviti yang tersedia di kampung berkenaan, termasuk bermalam di inap desa yang kesemuanya diuruskan Koperasi Pengusaha Homestay Labu Kubung Kuala Kangsar Berhad.

Pengerusi Koperasi, Meor Samsudin Abu Hassan, 69, berkata, inisiatif itu digerakkan penduduk kampung bersama anaknya, yang juga Pengurus Koperasi, Noorshazlin Meor Samsudin, 33.

Ujarnya, ia bermula sekitar Julai 2014 apabila melihat kepada keunikan kampung dan kedudukan geografi yang disifatkan mempunyai daya tarikan pelancong berasaskan kepada komuniti.

Temubual Pengerusi Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar, Meor Samsudin Abu Hassan, 69, dan Pengurus Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar, Noorshazlin Meor Samsudin, 33. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Katanya, usahanya ketika itu disokong Kerajaan Negeri Perak dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak yang akhirnya berjaya menarik minat 19 peserta dalam kalangan penduduk kampung.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ketika itu membawa kesemua peserta berkursus di Negeri Sembilan dan diberi pendedahan awal tentang pengurusan inap desa.

“Memasuki tahun 2015, kami bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk tujuan promosi dan hasilnya, kami berjaya menarik kehadiran 40 ejen pelancongan untuk berkampung di sini,” katanya ketika ditemui di Homestay Labu Kubung, Kuala Kangsar.

Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar pelancong pengunjung Meor Samsudin koperasi inap desa
Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Meor Samsudin berkata, selain menginap, pengunjung turut diberi peluang untuk melakukan aktiviti seperti menoreh getah, tarik upih, melihat proses pembuatan kuih tradisional, bedak sejuk, kraf tangan, serta penghasilan madu kelulut.

Katanya, berkat kesungguhan penduduk yang menjayakan aktiviti pelancongan di kampung itu berjaya mengukir pelbagai kejayaan lain termasuk Anugerah Inap Desa Terbaik oleh Kerajaan Perak dan Persekutuan pada tahun 2017.

Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar pelancong pengunjung Meor Samsudin koperasi inap desa
Pengusaha Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar menunjukkan proses menjemur bedak sejuk yang menjadi antara tarikan pengunjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Tambah Meor Samsudin, Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar turut merekodkan pencapaian membanggakan apabila meraih Anugerah Pelancongan Standard ASEAN bagi kategori inap yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia pada 2023.

Jelasnya, pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang diterima secara tidak langsung berjaya menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara, sehingga ke Benua Eropah.

Konsep Homestay Labu Kubung Kuala Kangsar

Sementara itu, Noorshazlin memberitahu, inap desa di Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar menawarkan dua konsep iaitu ‘Homestay’ dan ‘Kampung Stay’.

Jelasnya, Homestay membawa kepada konsep pengunjung tinggal bersama keluarga angkat, sementara Kampung Stay, pengunjung diberi kebebasan menginap secara berasingan daripada bersama pemilik rumah.

Pengurus Koperasi Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar, Noorshazlin Meor Samsudin, 33., menunjukkan ternakan madu kelulut yang menjadi antara tarikan pengunjung Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

“Pelbagai aktiviti ditawarkan yang mana pengunjung boleh memilih apa sahaja aktiviti yang mereka mahu lakukan dengan tawaran harga antara RM100 sehingga RM300 bergantung kepada bilangan bilik.

“Selain itu, kami juga menawarkan aktiviti menjelajah kampung dengan menaiki trem yang boleh memuatkan 12 orang dewasa dengan tawaran harga RM50 bagi perjalanan sejauh 4 kilometer (km),” katanya.

Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar pelancong pengunjung Meor Samsudin koperasi inap desa
Pemandangan yang indah sekitar Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Tambah Noorshazlin, Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar turut menawarkan pengalaman pelancongan bermusim iaitu musim durian, yang mana pengunjung boleh menikmati raja buah itu pada dusun-dusun yang terdapat di kampung berkenaan.

Ujarnya lagi, pengunjung turut ditawarkan dengan aktiviti menjelajah dan memanjat Bukit Changkat Ponggeng dan Bukit Bintang Hijau yang masing-masing menjanjikan pemandangan yang memukau.

Pemandangan yang indah sekitar Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Noorshazlin berkata, pihaknya juga kini sedang dalam perancangan untuk menambah aktiviti-aktiviti pelancongan baharu di situ termasuk melihat Bunga Rafflesia atau Pakma di Bukit Bintang Hijau.

“Pada tahun 2018, kami telah menerima bantuan trem dan van daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui program Desa Lestari.

“Sementara pada Ogos tahun lalu kami juga menerima tujuh kenderaan serba rupa bumi atau all terrain vehicle (ATV) lima ‘buggy’ oleh Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif Sejati Madani,” katanya.

Pengusaha Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar menjemur asam keping yang menjadi antara tarikan pengunjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.
Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JANUARI 2025.

Menurut Noorshazlin, aktiviti pelancongan dan sumbangan yang diterima Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar disifatkan memberi impak positif dalam menjana pendapatan tambahan kira-kira 450 penduduk kampung yang sebahagian besar bekerja sebagai pesawah, penoreh getah dan usahawan kecil.

Usaha yang dilakukan penduduk kampung ini selari dengan flagship Ekonomi Pengalaman menerusi segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Malah, menerusi Niche Daerah, sektor pelancongan antara tiga tumpuan utama yang diberikan kepada Kuala Kangsar selepas perindustrian serta kuari dan perlombongan. – MG Perak

VIDEO:

MGPerak: Homestay Labu Kubong Kuala Kangsar Dari Lokal Ke Global

Artikel Berkaitan:

Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI