Papan informasi Rumah Raja Bilah penting dalam beri maklumat

BATU GAJAH – Pemasangan papan tanda informasi sejarah Rumah Raja Bilah di Pekan Papan di sini, bertujuan memberi maklumat tepat kepada pengunjung mengenai sejarah bangunan berkenaan.

Ini kerana, rumah yang dibina pada 1896 itu mula menjadi perhatian pelancong dalam mahupun luar negara ekoran kebangkitan semula Pekan Papan kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Warisan Perak (PHS), Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata, pihaknya melihat terdapat kepentingan meletakkan papan maklumat tersebut bagi memastikan orang ramai mengetahui sejarah sebenar tanpa membuat sebarang andaian.

“Saya difahamkan rumah ini dibina lebih 100 tahun lalu dan Pekan Papan ini merupakan penempatan masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera Indonesia,  dan Raja Bilah bina bangunan ini untuk kegunaan masyarakatnya.

“Jadi maklumat bangunan lama yang mempunyai sejarah ini amatlah penting kita paparkan kerana kita mahu mengilmukan orang ramai yang datang supaya mengetahui cerita disebaliknya lalu diuar-uarkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pemasangan Papan Tanda Informasi Sejarah Rumah Raja Bilah di Papan, di sini, pada Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri cicit serta piut yang juga generasi keempat dan kelima Raja Bilah yang masih menguruskan kediaman berkenaan.

Cicit serta piut Raja Bilah ketika hadir pada pemasangan papan tanda informasi sejarah Rumah Besar Raja Bilah yang dibina pada tahun 1896 di Pekan Papan, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 FEBRUARI 2025.

Mohd Tajuddin berkata, usaha pemasangan papan tanda informasi berkenaan juga merupakan satu kesinambungan daripada beberapa program pelestarian warisan ‘Papan Pekan Warisan’.

Katanya ia merupakan Kerjasama dengan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, waris-waris keluarga Raja Bilah dan Komuniti Warisan Papan yang sudah dijalankan sebelum ini.

“Memandangkan kebangkitan semula (revival) Pekan Papan kebelakangan ini, sudah tiba dan tepat masanya untuk sebuah papan tanda informasi sejarah ditempatkan dibangunan bersejarah ini.

“Ia selaku pemangkin untuk merangsang dan mencetuskan minat dalam usaha pelestarian Papan sebagai tarikan pelancongan ‘histourism yang utama di Perak dan di kalangan rakyat Malaysia amnya,” katanya.

Sementara itu, cicit kepada Raja Bilah Ameen Abdullah, 77, berkata, dia amat berterima kasih atas usaha yang dilakukan bagi memastikan Rumah Besar Raja Bilah tidak dilupakan generasi akan datang.

Katanya, meskipun tidak membesar di kediaman tersebut seperti bapanya, dia merasakan warisan keluarganya itu perlu dipelihara. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI