Polis tahan lima individu di ‘homestay’, tumpas sindiket wang palsu

IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket mencetak dan menggunakan wang palsu dengan menahan lima individu dalam serbuan di sebuah inap desa atau ‘homestay’, di Pusing, Batu Gajah, pada Isnin lalu.

Dua lelaki dan tiga wanita yang kesemuanya berusia antara 26 sehingga 36 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Perak pada jam 1.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, serbuan itu dilakukan susulan tiga laporan polis yang diterima daripada pemilik premis perniagaan pakaian dan stesen minyak di Kerian berkaitan penggunaan wang palsu.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah merampas tiga keping wang RM100; sekeping wang RM20; enam telefon bimbit, satu komputer riba, satu rim kertas A4, gunting, beberapa pakaian serta sebuah kenderaan yang menggunakan nombor plat palsu.

“Suspek yang ditahan dipercayai berperanan mencetak wang palsu dan menggunakannya bagi tujuan pembelian barang keperluan harian seperti pakaian, minuman, minyak petrol, tambah nilai kad Touch and Go, serta tambah nilai talian telefon,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurut Zulkafli, selain di Kerian, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut terlibat dengan sembilan kes kegiatan penggunaan wang palsu termasuk di Ipoh, Batu Gajah, Manjung, dan Kuala Kangsar, sejak tahun lalu.

“Sindiket ini juga menggunakan wang palsu bagi tujuan pembelian telefon bimbit yang ditawarkan dalam media Sosial.

“Ahli sindiket akan berjumpa secara bersemuka dengan penjual telefon bimbit dan menyerahkan wang palsu sebagai pembayaran sebelum mengambil telefon bimbit berkenaan kemudian, menghilangkan diri sebagai modus operandi.

“Mereka turut menggunakan nombor plat kenderaan palsu bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” jelas beliau.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, di samping turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, narkotik serta komersil.

Malah Zulkafli berkata, salah seorang suspek yang ditahan juga sedang menghadapi perbicaraan berkaitan wang palsu di mahkamah di Selangor.

Justeru beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 489B, 489C dan 489D Kanun keseksaan serta seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujar beliau, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun, dan denda, serta didenda sehingga RM5,000, atau penjara sehingga dua tahun dan dikenakan pengawasan polis dalam tempoh tiga tahun.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 6 Februari 2025 untuk siasatan lanjut.

“Memiliki, menggunakan dan mencetak wang palsu merupakan suatu kesalahan yang berat dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas dalam menyiasat kes berkenaan sehingga pesalah didakwa,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Ibu muda dituduh buat laporan palsu kecurian wang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI