Rakyat perlu perbaiki diri, kembang potensi bagi membina negeri maju

IPOH – Rakyat perlu menyahut seruan untuk memperbaiki diri, mengembangkan potensi dan memperkasa jati diri bagi membina sebuah negeri yang maju serta bersatu padu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, formula kemajuan sesebuah negeri dan negara tidak boleh terpisah dengan elemen perpaduan serta keharmonian.

Menurutnya, ekonomi yang berkelanjutan tidak mungkin dapat dilata tanpa adanya kerukunan dalam masyarakat, sementelah suasana negeri yang terbina di sebalik kerencaman agama, kaum dan budaya.

“Perayaan yang kita raikan saban tahun dan saban waktu, sewajarnya menjadi ingatan dan teladan, betapa nikmat udara keamanan yang dihirup sejak lebih enam dekad lalu, tidak mungkin kekal secara automatik.

“Ia mesti dibajai dengan semangat persefahaman, disirami dengan nilai tolak ansur dan disuburkan dengan sifat keikhlasan.

“Seruan ini diungkap tatkala wujud anasir yang semakin nyaring meniup api permusuhan, mengatur naratif perpecahan, menabur dakyah adu domba melalui neraca kaum dan agama, sehingga masyarakat berbilang kaum sentiasa dibayangi fitnah, lantas mengundang tebalnya rasa curiga serta syak wasangka.

“Dakyah yang diatur dengan sentimen politik yang berlebih-lebihan, tidak sedikit pun membantu dalam pembinaan masyarakat, malah menjadi asbab kepada perpecahan dan keruntuhan, sekaligus meletakkan negeri dan negara di ambang kemusnahan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini pada Sabtu.

Justeru, beliau menyeru rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama, untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan, menguatkan semangat kekitaan dalam menepis segala dakyah yang memecahbelahkan, supaya negeri dan negara berada dalam bersatu padu dan harmoni.

“Marilah kita selangkah dan sederap memaknakan gagasan Malaysia Madani dan tegap bersama menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030, supaya cita-cita kita untuk mencipta masa hadapan yang cerah untuk negeri dan negara tercinta ini, akhirnya menjadi kenyataan. InshaALLAH,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI