LRA Bukit Temoh kini beroperasi semula 50 peratus

IPOH – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh telah beroperasi semula dengan kapasiti 50 peratus daripada pengeluaran sebenar berikutan pengaktifan semula saluran paip air mentah bersaiz 900 milimiter (mm) dari Muka Sauk (Intake) bermula semalam.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Air Perak (LAP) menerusi Facebook Lembaga Air Perak ADMIN pada Selasa.

Menurutnya, proses rawatan air kini sedang dilaksanakan dan air yang telah dirawat akan disalurkan ke dalam sistem agihan untuk mengisi tangki-tangki takungan utama.

“Proses ini dijangka mengambil sedikit masa untuk mencapai kestabilan sebelum air dapat disalurkan kepada pengguna.

“Bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air, LAP akan melaksanakan sementara catuan penggiliran bekalan air ke daerah Batang Padang dan Hilir Perak.

“Bekalan air kepada pengguna, di kawasan Tapah dan Bidor, akan disalurkan secara berperingkat mulai awal pagi 12 Februari (hari ini) dan seterusnya digilirkan ke kawasan Hilir Perak.

“Pengagihan air melalui lori tangki masih diteruskan, namun jumlahnya akan dikurangkan mengikut kawasan yang sudah menerima bekalan air,” jelasnya.

Katanya, LAP akan terus memantau operasi loji ini dan berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran loji secara berperingkat.

“Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air sementara proses pemulihan bekalan air sepenuhnya sedang dilaksanakan,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 50,000 akaun pengguna LAP di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Februari lalu.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari Intake (muka sauk) Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh yang berlaku sejak 4 Februari lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gangguan bekalan air di Tapah, Bidor, Teluk Intan dijangka pulih mulai esok

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI