Amanah, tanggungjawab Komander ESSCOM pertama besar – Abdul Rashid

MENGGALAS tugas sebagai Komander pertama Pemerintahan Keselamatan Sabah Timur (ESSCOM) selepas insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 9 Februari 2013, membawa cabaran besar kepada Datuk Abdul Rashid Harun.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah itu bagaimanapun berjaya menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang sehingga jasa, bakti serta keberaniannya mendapat pelbagai penghargaan disamping menjadi bualan ramai.

Bercakap kepada Malaysia Gazette, Abdul Rashid berkata, pada mulanya beliau telah diarah untuk bertukar ke ESSCOM dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam PDRM ekoran insiden di Lahad Datu.

Jelas beliau, meskipun diberi kenaikkan pangkat dan jawatan tinggi ia sedikit sebanyak membuatnya terkejut selain memikirkan tanggungjawab besar yang perlu digalasnya demi kedaulatan negara.

“Masa mula itu memang terkejut juga sebab ini tanggungjawab yang amar sukar dan perlu dilaksanakan selain ESSCOM masa itu tiada pejabat dan kita kena duduk di kabin sahaja.

“Semasa itu ESSCOM diketuai Datuk Mohammad Mentek yang dilantik sebagai pengarah dan beliau menjalankan tugas dari sudut perang saraf dan gerak saraf dengan pengoperasian dibantu oleh polis, tentera, APMM,” katanya.

Abdul Rashid berkata, pada 2014 rombakan ESSCOM telah dilakukan dan beliau dilantik sebagai Komander ESSCOM pertama.

“Bila diberitahu saya akan jadi komander saya tidak tahu apa akan berlaku kerana pada awalnya dimaklumkan tentera yang akan menjadi komander pertama tetapi bila bertukar saya dilantik.

Temubual eksklusif bersama Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun di Amazing Camp Legacy, Kampung Danglang, Lengung, Perak. Foto AIZAT ZAINAL.

“Saya nampak Komander ESSCOM ini satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar perlu dipikul kerana di bawahnya ada tiga komponen iaitu PDRM, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kita tahu setiap ini ada kekuatan masing-masing dan pasukan khas masing-masing jadi saya berfikir bagaimana untuk bekerja di bawah satu bumbung sebab polis ada doktrinnya, tentera ada doktrin mereka dan begitu juga APMM.

“Jadi memang itulah cabaran paling hebat pada saya dalam bertugas dan saya bersyukur atas beberapa perkara apa yang saya buat dengan beritahu diri saya, Rashid engkau komander tapi jangan jadi komander yang bossy tetapi kena merendah diri,” katanya.

Bercerita lanjut, Abdul Rashid berkata, bagi memudahkan urusannya beliau mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan di kediaman beliau bersama pemimpin dan anggota agensi terlibat.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengeratkan silaturahim disamping berbincang dalam mempertahankan kedaulatan Lahad Datu dari pencerobohan kumpulan pengganas.

“Saya ini pandai masak jadi saya masak asam pedas Johor panggil ketua-ketua terlibat dating ke rumah makan tengah hari kemudian hidangkan kopi sambil berbincang.

“Masa minum kopi saya akan utarakan saya nak buat operasi di lokasi sekian-sekian dan harap mereka boleh membantu dan Alhamdulillah mereka semua bersemangat untuk sama-sama dalam operasi.

“Biasanya kalau mesyuarat bos sorang sahaja yang bercakap yang lain diam sahaja tetapi itu tidak berlaku ketika saya menjadi Komander.

Kita berbincang dan saya tawar siapa yang nak jadi Ground Commander, polis dahulu ke, tentera ke dan kita akan bergilir-gilir. Jadi tiada masalah kepada saya kerana kita bekerja sebagai adik beradik,” katanya.

Minum kopi dengan penduduk Lahad Datu

Abdul Rashid berkata selepas berjaya mendapatkan kerjasama berpasukan antara polis bersama tentera, maritim, dan agensi lain beliau seterusnya memberi perhatian mendekati komuniti setempat dan pimpinan kerajaan negeri termasuk ahli politik.

Katanya, bagi memenangi hati penduduk Lahad Datu beliau turun ke kampung-kampung meluangkan masa berbual sambal minum di kedai kopi.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun yang juga Komander ESSCOM pertama bergambar bersama plak pelancaran yang di terima beliau semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Amazing Camp Legacy, Kampung Danglang, Lengung, Perak. Foto AIZAT ZAINAL.

“Bila saya nampak penduduk tengah minum kopi saya suruh pemandu berhenti untuk minum sekali dan saya akan belanja mereka sebab kita ada elaun keraian jadi berapalah sangat belanja minum kopi di gerai kampung.

“Bila saya yang pakai uniform lengkap ini singgah minum sembang dengan mereka jadi komuniti ini hilanglah sikit rasa takut tapi mereka masih menghormati saya,” katanya.

Tambah Abdul Rashid selain daripada meluangkan masa dengan penduduk di kedai kopi beliau juga mempunyai kaedah tersendiri menambat hati komuniti Lahad Datu.

“Orang Sabah ini baik-baik belaka cuma kadang-kadang kita ambil pendekatan salah. Saya mengamalkan ‘eye contact’ sebaik sahaja memberi salam dan mereka akan segera menyambut salam.

“Keikhlasan mereka menyambut salam yang kita ucapkan menyejukkan hati kita dan memberi keyakinan bahawa mereka mengalu-alukan kita,” katanya.

Beliau berkata, bagi memberi penerangan kepada ahli politik tidak kira pemimpin kerajaan mahupun pembangkang pula, dia telah meminta Tun Musa Aman yang merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu untuk mengumpulkan kesemua mereka.

Katanya, Tun Musa Aman telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat untuk hadir mendengar penerangan daripadanya.

“Kesemua ADUN ini dikumpulkan dalam bilik mesyuarat dan saya memberi penerangan kepada mereka apa itu ESSCOM, apa tanggungjawabnya serta cabaran agar mereka faham dan sama-sama mengembleng tenaga bersama buah fikiran untuk membantu.

“Alhamdulillah dari situ mereka dapat memahami apa yang sepatutnya difahami dan bila dan faham senanglah kita nak buat kerja dan tiada yang bermasam muka dengan pelbagai prasangka,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cadang bina galeri khas VAT 69 Komando di Lenggong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI