Pekerja perlu berani buat aduan jika majikan ingkar gaji minimum RM1,700

IPOH – Golongan pekerja perlu berani tampil membuat aduan sekiranya majikan enggan mematuhi pelaksanaan gaji minimum pada kadar RM1,700 yang mula dikuatkuasakan 1 Februari lalu.

Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Saratbabu Raman berkata, tindakan itu penting dalam memastikan tiada majikan yang ingkar terhadap pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, justeru pihaknya bersama Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) bersedia untuk membantu golongan pekerja yang berhadapan dengan masalah itu membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja termasuk melalui saluran aduan Sistem Aduan Pekerja JPKK atau SiAP.

Pekerja perlu berani buat aduan jika majikan ingkar gaji minimum RM1,700 i pelaksanaan gaji minimum baharu Saratbabu Raman
Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Saratbabu Raman ketika sidang media berkenaan Pelaksanaan Gaji Minima Baharu RM1,700 di Pejabat PSM Perak, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2025.

“Majikan seharusnya wajib untuk melaksanakan bayaran gaji pokok berdasarkan kepada kadar baharu, tanpa membuat sebarang pemotongan atau mengurangkan faedah sedia ada.

“Selain itu, majikan juga perlu membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengikut kadar baru yang ditetapkan.

“Segala pengiraan hendaklah dibuat mengikut Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak, serta mengikut mana-mana peruntukan udang-undang yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Pejabat PSM Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital dan Di Jabatan-Jabatan Kerajaan (NUWHSAS), Roziah Mohd Hashim serta Penyelaras JPKK, Norazian Riduan.

Pekerja perlu berani buat aduan jika majikan ingkar gaji minimum RM1,700 i pelaksanaan gaji minimum baharu Saratbabu Raman
Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Saratbabu Raman (dua, kanan) ketika sidang media berkenaan Pelaksanaan Gaji Minima Baharu RM1,700 di Pejabat PSM Perak, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2025.

Menurut Saratbabu Raman, pematuhan majikan terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum penting dalam memastikan setiap pekerja dapat menikmati kehidupan selesa dengan mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Pada masa sama beliau juga meminta agar kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melakukan pemantauan ketat terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu.

Kata beliau, KESUMA turut diminta untuk segera menyalurkan garis panduan berkenaan pelaksanaan bayaran gaji itu mengikut kelayakan sebagaimana yang dimaklumkan oleh sebelum ini.

“Semua pekerja harus peka dan semak slip gaji terbaru mereka dan cuba buat kiraan masing-masing.

“Jika ada mana-mana majikan gagal bayar (mengikut kadar gaji minimum baharu) sila minta penjelasan daripada majikan berhubung perkara itu,” ujarnya.

Pekerja perlu berani buat aduan jika majikan ingkar gaji minimum RM1,700 i pelaksanaan gaji minimum baharu Saratbabu Raman
Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Norazian Riduan ketika sidang media berkenaan Pelaksanaan Gaji Minima Baharu RM1,700 di Pejabat PSM Perak, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2025.

Sementara itu Norazian memberitahu, ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada tahun 2022, pihaknya menerima aduan keengganan majikan mematuhinya sehingga ada pekerja yang masih dibayar upah pada kadar RM1,200.

Justeru beliau menggesa agar kerajaan memantau secara lebih serius terhadap pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu ini agar perkara sedemikian tidak kembali berulang.

“Jika tiada pemantauan serius (terhadap majikan) oleh kerajaan, maka segala masalah dihadapi pekerja tidak akan dapat diselesaikan walaupun gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700.

“Kami mahu tiada majikan yang ingkar kepada pengumuman kerajaan ini dan pada masa sama, pekerja tidak dinafikan sebarang hak yang seharusnya dinikmati oleh mereka,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini berkuat kuasa 1 Februari.

Pelaksanaan yang memberi manfaat kepada 4.37 juta pekerja itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Ia termasuk majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tangani dasar gaji minimum dengan baik elak peningkatan inflasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI