PARIT – Kerajaan Negeri Perak menyarankan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini memantau aktiviti penjualan makanan di luar premis sekolah bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia bertujuan memastikan insiden kematian murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal, Selasa lalu tidak berulang.
Menurut Khairudin, bagi memastikan perkara demikian kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat sekeliling serta swasta amat diperlukan.
“Saya memang mengharapkan khususnya daripada JPN dan juga pihak PPD untuk membuat tinjauan dan pemantauan agar operasi penjualan makanan di luar pagar sekolah ini perlu di teliti semula.
“Selain itu, kalau perlu dilarang sama sekali memandangkan ia banyak mendatangkan perkara-perkara yang lebih memudaratkan kepada kesihatan dan juga kebajikan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Ziarah Cakna Keluarga dua pelajar sekolah menengah yang lemas di Sungai Perak di Kampung Tepus, di sini, pada Jumaat.
Khairudin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meletakkan garis panduan serta taklimat kepada pengusaha-pengusaha kantin mengenai jenis makanan yang dilarang dijual kepada pelajar.
“Cuma dari segi penjualan yang berlaku di luar sekolah sepatutnya menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat khususnya Penglibatan Ibu Bapa,Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) yang membantu memantau penjualan makanan ini,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa sekolah tidak mempunyai kuasa melarang penjaja atau peniaga kecil berniaga di luar kawasan sekolah Khairudin berkata, kolaborasi JPN dan PPD bersama agensi kerajaan terlibat perlu diperhebatkan lagi.
“Kita tidak mempunyai kuasa di luar kawasan pagar sekolah dan kita juga tidak bileh mengambil sebarang tindakan kepada pengusaha yang berada di luar kawasan pagar sekolah.
“Akan tetapi ia memerlukan kolaborasi dengan agensi seperti PBT dan sebagainya supaya kita dapat menghindar daripada penjualan barang-barang yang tidak sesuai dengan tahap umur serta keupayaan fizikal pelajar sekolah,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: