Pegawai Khas MB tidak ganggu tugas wakil rakyat pembangkang – Saarani

IPOH – Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang bukan sebagai mahu mengganggu atau membunuh karier wakil rakyat sedia ada.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya pelantikan itu disifatkan sebagai amalan biasa seperti mana yang pernah dilaksanakan pentadbiran sebelum ini mahupun di negeri lain.

Katanya, justeru keputusan melantik Pegawai Khas Menteri Besar yang dilantik bagi tempoh setahun itu tidak perlu dikhuatiri kerana tidak ia bukan untuk bersaing dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sedia ada.

“ADUN Kenering (Husairi Ariffin) tidak perlu bimbang kerana elaun bulanan RM11,000 yang diterima, tidak diusik, atau diambil pun. Tidak perlu khuatir, kerana ia bukan hendak memusnakahkan karekter beliau.

“Wakil rakyat (pembangkang jika) hendak (mengadakan program di kawasan) pergi ke masjid atau surau tidak ada halangan, kerana Pegawai Khas Menteri Besar ada tugas yang dilakukan.

“Dan bagusnya di sini, apabila ada Pegawai Khas Menteri Besar, ADUN sedia ada kena bersaing dengan baik dan bekerja dengan lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Kad Perak Sejahtera (KPS) Daerah Kinta di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Mengulas lanjut Saarani berkata, pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar dibuat selepas melihat kepada keperluan wakil kerajaan untuk mesyuarat tindakan daerah terutama di kawasan DUN yang diwakili pembangkang.

Kata beliau, antara kriteria lain bagi pelantikan jawatan itu adalah individu dilantik harus dipercayai Menteri Besar Perak, di samping mewakili mana-mana parti kerajaan sama ada daripada komponen Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

“Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar ini saya buat secara teratur dan mengikut saluran yang betul iaitu melalui Mesyuarat Exco yang dibahas sebelum diputuskan. Dan pelantikan diserahkan kepada Menteri Besar.

“Akan tetapi mereka yang dilantik bukan sebagai jaminan untuk menjadi calon pilihan raya akan datang. Namun, sekiranya mereka berkhidmat dengan baik, tidak salah untuk kita menamakan individu itu sebagai calon,” ujar beliau.

Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan hantaran pada laman Facebook ‘Kenering Sejahtera’ yang mempersoalkan pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar di kawasan DUN yang diwakili wakil rakyat pembangkang.

Hantaran itu antara lain mendakwa ia sebagai penyelewengan selain bertujuan untuk membunuh karier ADUN sedia ada yang telah dipilih wakil rakyat pada pilihan raya lalu.

Awal tahun ini, Kerajaan Negeri Perak melantik 26 pemimpin sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak yang terdiri daripada 18 dalam kalangan UMNO, Amanah (empat), PKR (tiga) dan DAP (seorang). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tubuh jawatankuasa khas pastikan Taman Bunga Raya selamat diduduki – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI