IPOH – Masyarakat Islam yang akan mula berpuasa esok meluangkan cuti hujung minggu dengan memilih pasar awam dan pasar pagi untuk membeli barang keperluan sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di Pasar Besar Ipoh, di sini mendapati kebanyakan pengunjung membuat persiapan akhir dengan mengunjungi pasar itu kerana mempunyai banyak pilihan barangan keperluan basah dan kering.
Antara barang keperluan asas yang menjadi pilihan pengguna ialah ayam, daging lembu, ikan, kelapa serta sayur.
Pengunjung, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, memang sudah menjadi tradisi keluarganya untuk memasak di rumah sebagai juadah berbuka puasa bagi mereka sekeluarga.
“Kami berdua (bersama suami) hari ini keluar membeli belah di Pasar Besar Ipoh sebagai persiapan untuk berbuka puasa esok.
“Barang-barang yang dijual di sini memang terbaik, ada pilihan yang bagus dan barangannya juga segar.
“Bagaimanapun, terdapat peningkat dari segi harga, hendak kata murah sangat tidak, tetapi berpatutan,” katanya ketika ditemui MG Perak di Pasar Besar Ipoh, hari ini.
Katanya, walaupun beliau menyediakan sendiri juadah berbuka tetapi mereka tetap singgah ke bazar Ramadan untuk mendapatkan makanan sampingan yang lain.
“Sebenarnya masak sendiri sangat penting kerana dari segi nutrisi kita tahu bahan apa yang kita masukkan dan gunakan, jadi bagi kami berdua itu perkara yang penting,” ujarnya.
Surirumah, Siti Mazlina Ahmad Sarbini, 36, dari Rawang berkata, dia pulang kampung mertuanya di Buntong bagi menyambut hari pertama Ramadan di sini.
“Saya lihat harga barangan keperluan di sini lebih murah daripada Kuala Lumpur dan banyak pilihan. Satu tempat semua ada,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Sarenah Salim, 62, Tambun berkata, setakat ini harga yang ditawarkan di pasar ini tidak membebankan.
“Harga Harga barang takdelah menyusahkan bolehlah beli. Untuk juadah berbuka puasa hari pertama saya akan masak rendang untuk enam anak yang pulang ke Tambun,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga daging, Mustaqim Sefpee, 21, yang menjalankan perniagaan daging lembu segar tempatan dan import lebih 20 tahun dari zaman bapanya.
“Setakat ini, pelanggan boleh tahan ramai, Alhamdulillah. Cuma barang agak mahal, jika jual pun terpaksa jual harga mahal sebab barang sampai pun harga mahal.
“Kalau ikut harga kawalan daging lembu segar yang ditetapkan kerajaan adalah RM41 sekilogram tapi kita jual dengan harga RM36 sekilogram sahaja. Daging import kita jual sekilo RM26 dah siap buang lemak, urat, tulang fresh RM32, import RM20.
Katanya, pelanggan tidak perlu bimbang dengan kekurangan bekalan kerana stok daging lembu segar dan import banyak.
“Dua hari sebelum raya tahun lalu, kami telah menjual 150 kotak daging lembu import dan tiga hingga lima ekor sehari daging lembu segar tempatan,” jelasnya.
Peniaga, Mohammad Alimin Asmuni, 32, berkata, permintaan sayur kampung pada bulan Ramadan melonjak lebih tinggi berbanding hari biasa.
“Antara yang paling laris adalah nangka muda, pucuk paku, kangkung, pucuk ubi dan ulam-ulaman,” katanya.
Tambahnya, harga yang dijual tidak mahal namun harga itu naik jika barang sukar diperoleh. Bagaimanapun, semuanya ikut pembekal.
Artikel Berkaitan: