IPOH – Harga bahan mentah yang tidak menentu dan sering meningkat mendorong kebanyakan peniaga bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga juadah antara 50 sen sehingga RM1 tahun ini berbanding sebelumnya.
Beberapa peniaga dan pengunjung yang ditemui ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak, pada Ahad memberitahu, masing-masing mengambil pendekatan sederhana.
Peniaga berasaskan makanan mi, Azura Yahya, 38, berkata, harga juadah seperti laksa, mi kari, dan laksam terpaksa dinaikkan sekitar 50 sen bagi menampung peningkatan kos bahan mentah serta sewa khemah.
Menurutnya, dia juga terpaksa mengurangkan sedikit saiz hidangan dalam memastikan perniagaan dapat terus bertahan sepanjang Ramadan ini.
“Seperti laksam, pada tahun lalu saya menjual pada harga RM7.50, namun kali ini kita jual RM8. Kenaikan itu susulan kenaikan harga bawang, cili, ikan dan sebagainya di pasaran.
“Pada kali ini, saya berniaga secara berjimat-cermat atau ‘trial and error’ apabila hanya menyediakan sekitar 200 pek makanan sahaja dalam sehari kerana bimbang sekiranya tidak terjual dan akhirnya membazir,” katanya.
Situasi sama berlaku kepada peniaga puding karamel, Nur Izzah Md Masror, 44, apabila dia juga terpaksa menjual juadah berkenaan pada harga RM8 berbanding RM7 tahun lalu.
“Sejak akhir-akhir ini kenaikan harga bahan mentah di pasaran seperti gula dan susu pekat lebih terasa. Justeru kenaikan harga itu tidak boleh dielakkan.
“Hampir setiap tahun situasi ini terpaksa dihadapi, namun kita juga maklumkan kepada para pelanggan dan mereka boleh menerimanya,” ujarnya.
Tambah Nur Izzah, walau berhadapan dengan situasi berkenaan, dia tetap meneruskan perniagaan di bazar itu pada saban tahun kerana masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Sementara itu pengunjung yang juga pelajar, Muhammad Fateh Mohd Riduzan dan Muhammad Firas Naim masing-masing berusia 23 tahun berkata, mereka kerap ke bazar Ramadan kerana mudah untuk mendapatkan juadah berbuka berbanding perlu menyediakan sendiri di rumah.
Bagaimanapun ujar mereka, ketika ini mereka merancang untuk memasak juadah berbuka puasa apabila menyedari wujud peningkatan harga di bazar Ramadan.
“Kami memperuntukkan RM20 pada setiap kali kunjungan ke bazar Ramadan ekoran telah menjangkakan ada peningkatan harga jualan.
“Oleh itu, kami cuba untuk mengawal pembelian selain merancang untuk membeli juadah yang diingini sahaja,” katanya lagi.
Namun, pekerja swasta, Nuratikah Khairul Anuar, 27, berkata, walaupun sedar wujud peningkatan harga juadah di bazar namun ia disifatkan masih lagi berpatutan dan tidak membebankan.
“Kita faham apabila gaji minima pun telah dinaikkan, maka harga barang terpaksa dinaikkan. Saya juga faham apabila peniaga terpaksa menaikkan harga demi kelangsungan perniagaan.
“Bagaimanapun, sebagai pembeli kita perlu bijak berbelanja apabila hanya membeli juadah yang benar-benar diperlukan sahaja ketika berbuka,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Peniaga bazar Ramadan jamin makanan disediakan bersih, selamat