MBI teruskan kajian secara menyeluruh larangan jual arak – Exco

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh masih meneruskan kajian secara menyeluruh berhubung cadangan untuk meluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kajian tersebut akan melibatkan banyak pihak dan akan mengambil kira sudut pandang dari segi perundangan, masyarakat dan peniaga.

“Buat masa ini, MBI masih dalam proses untuk kumpul maklumat sesi engagement (libat urus) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Selain itu, setakat ini cadangan tersebut hanya dibangkitkan MBI dan tidak melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Perak,” katanya.

MBI teruskan kajian secara menyeluruh larangan jual arak - Exco
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (kanan) ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru, pada Khamis. Turut hadir Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon (kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 MAC 2025.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah memberi ‘lampu hijau’ kepada MBI untuk menjalankan kajian tersebut.

Saarani berkata, setakat ini pihaknya telah mendapatkan maklum balas MBI mengenai syor yang sedang dalam peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.

MBI teruskan kajian secara menyeluruh larangan jual arak - Exco
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di perkarangan Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, pada Khamis. Turut sama Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 MAC 2025.

Terdahulu, Sandrea Ng menghadiri program agihan bubur lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan anjuran JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya petang tadi.

Katanya, pada program itu, sebanyak 300 bekas bubur lambuk kambing diedarkan kepada pengunjung

Katanya, selain itu anggota bomba turut mengedarkan risalah mencegah kebakaran serta mengambil peluang bagi meningkatkan kefahaman orang awam berhubung isu dan langkah untuk menjaga keselamatan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menyediakan empat periuk bubur lambuk kambing yang menghasilkan 1,000 bekas untuk diedarkan kepada agensi berhampiran,  kakitangan dan anggota bomba serta untuk tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa hari ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak beri ‘lampu hijau‘ MBI kaji syor meluaskan larangan jual arak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI