IPOH – Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan secara terperinci dengan syarikat penerbangan AirAsia berhubung penggantungan operasi laluan penerbangan Ipoh ke Singapura yang dijangka berkuat kuasa 23 April depan.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perbincangan itu bagi mencari punca dan sebab laluan tersebut diberhentikan operasi.
Menurutnya, penerbangan untuk laluan tersebut memang sentiasa mempunyai kapasiti penumpang yang penuh sepanjang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
“Kita akan bincang dengan pihak AirAsia untuk teruskan (penerbangan) yang ada. Setakat ini, penerbangan AirAsia cuma ada daripada Ipoh ke Senai (LTSAS ke Lapangan Terbang Antrabangsa Senai, Johor).
“Tetapi kalau dia (AirAsia) ada ke Singapura dan beritahu sebab-sebab (pemberhentian) kalau mana kerajaan (negeri) boleh bantu supaya dia dapat meneruskan perjalanan Ipoh-Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pandu Berhati-Hati, Selamat di Aidilfitri di AEON Big Falim, di sini hari ini.
Semalam, Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak dimaklumkan berhubung pemberhentian laluan penerbangan AirAsia Ipoh ke Singapura menerusi LTSAS.
Katanya, pemberhentian lalu itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan usaha kerajaan negeri merancakkan pengangkutan udara di Ipoh dan Perak.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak pernah dilibat urus atau dimaklumkan sebelum pengumuman oleh AirAsia untuk pemberhentian laluan Ipoh-Singapura dan mengikut data yang diperolehi, laluan tersebut sememangnya mendapat sambutan yang baik selama ini.
Sze Yee berkata, perkara itu dikhuatiri akan memberi impak yang kurang baik kepada Ipoh dan Perak secara keseluruhan dalam pelancongan, pelaburan serta industri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak minta AirAsia pertimbang henti penerbangan Ipoh-Singapura