BATU GAJAH – Penantian pembantu peniaga pasar, Zaharuddin Sallehuddin, 49, memiliki kediaman yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima bantuan bina baharu daripada Yayasan Perak.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia dan keluarga sebelum ini menduduki kediaman pusaka milik keluarganya di atas tanah yang sama namun keadaannya terlalu usang serta bocor.
Katanya, dia kemudiannya mengambil inisiatif sendiri memohon bantuan rumah di bawah Program Sayangi Rumahku oleh Yayasan Perak dan tidak menyangka permohonannya diluluskan.

“Hampir 20 tahun saya duduk di rumah pusaka atas tanah ini namun keadaannya semakin usang hingga saya berfikir bahawa kami perlu kediaman baharu yang selesa.
“Alhamdulillah, impian kami sekeluarga dimakbulkan Allah S.W.T. dan rumah lama diroboh dan rumah baharu didirikan,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Beliau berkata demikian selepas menerima serahan rumah Program Sayangi Rumahku (Bina Baharu) Yayasan Perak di Kampung Seri Mariah, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir pada majlis berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang dan wakil Bahagian Modal Insan Yayasan Perak, Muhammad Azri Mohammad Fuzi.
Zaharuddin berkata, dia dan isteri merancang untuk berpindah ke kediaman baharu mereka selepas Aidilfitri memandangkan terdapat beberapa urusan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Dia turut menzahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T. serta penghargaan di atas keprihatinan Yayasan Perak membantu dia dan keluarga memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
Sementara itu, Steven Tiw berkata, pihaknya berharap agar Zaharuddin dan keluarga dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan sempurna.
Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Perak itu amat membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri dengan lebih selesa. -MG Perak
Artikel Berkaitan: