TAPAH – Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diminta memilih calon yang tepat dan memperjuangkan soal kebajikan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) April depan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru masyarakat di kawasan berkenaan disaran untuk tidak termakan dengan sebarang ucapan yang berunsurkan kepada fitnah dan kebencian.
“Pada pilihan raya nanti jangan kita mengundi kerana fitnah. Jangan kita mengundi kerana ada racun kebencian dalam ucapan.
“Saya sendiri ingatkan diri saya, bahawa sebagai Menteri Besar Perak, saya adalah kepala perang dalam pilihan raya ini. Dan saya ingatkan diri saya jangan buat fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Dari Mata Turun ke Hati-Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ahmad di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Tambah Saarani, beliau berharap masyarakat di DUN Ayer Kuning dapat membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian nanti agar calon yang dipilih dapat meneruskan khidmat bakti penyandang kerusi itu sebelum ini, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Menurut beliau, selain mementingkan kebajikan rakyat, ketika hayat Ishsam telah membuat enam permohonan berkaitan pembinaan masjid dan surau di DUN berkenaan yang menelan belanja RM1 juta, dan ia telah diluluskan kerajaan negeri.
“Kalau silap pilih orang hanya maki Menteri Besar, dia pilih wakil rakyat yang maki Menteri Besar, dapat apa? Menteri Besar pun manusia.
“Walaupun belum umum calon lagi, nanti pilih calon wakil rakyat yang baik. Saya perlukan wakil rakyat yang duduk dalam kerajaan dan dapat terus berbuat kebajikan demi rakyat,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
Terdahulu pada majlis, Saarani menyampaikan sumbanganan kerajaan negeri bernilai RM245,000 bagi menaiktaraf lapan premis pertubuhan dan rumah kebajikan di negeri ini.
Beliau juga turut menyempurnakan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM berjumlah RM6,000 bagi membiayai kos operasi enam Maahad dan pertubuhan di negeri ini.
Pada majlis sama, Saarani turut menyaksikan penyampaian bakul makanan SKM kepada 50 penerima di DUN Ayer Kuning. – MG Perak
Artikel Berkaitan: