TAPAH – Pelaksanaan terhadap sistem laluan sehala di pekan Tapah sejak Ogos lalu mengundang pelbagai reaksi umum bukan sahaja peniaga dan penjaja malah penduduk setempat yang menggunakan jalan berkenaan bagi urusan harian.
Rata-rata mereka yang ditemui pemberita menyambut baik pelaksanaan sistem laluan sehala tanpa lampu isyarat berkenaan, namun diharap agar ada ruang terhadap penambahbaikkan khususnya bagi membela nasib peniaga terkesan.
Pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Abdul Razak Alias, 68, berkata, kaedah sistem penyuraian trafik itu membantu mengurangkan kesesakan di pekan Tapah khususnya ketika waktu puncak.
Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila aliran trafik dalam tempoh selepas selesai Solat Jumaat bertembung dengan aliran trafik oleh kenderaan-kenderaan berat di pekan berkenaan.
“Ketika itu banyak kereta dan lori muatan besar berada di pekan Tapah, di tambah pula orang baru selesai Solat Jumaat (di Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah). Boleh bayangkan kesesakannya bagaimana,” katanya ketika ditemui di sini.
Mengulas lanjut Abdul Razak turut berharap agar nasib golongan penjaja atau peniaga yang terjejas ekoran pelaksanaan sistem itu dapat dibela.
“Ada sesetengah lokasi sepanjang laluan sehala ini telah menyukarkan pengguna jalan raya untuk meletakkan kenderaan mereka.
“Dan oleh sebab itu, sukar untuk orang ramai singgah di gerai atau premis perniagaan yang terdapat di situ. Jika hendak singgah, terpaksa parkir kenderaan di lokasi agak jauh.
“Justeru, harap ada kaedah atau penyelesaian konkrit terhadap isu ini yang memberi kebaikan kepada semua pihak sama orang awam, ataupun peniaga,” katanya lagi.
Sementara itu, pesara kerajaan, Zainai Azri Saad, 65 berkata, pada peringkat awal, pelaksanaan sistem laluan sehala itu menimbulkan pelbagai persoalan serta pandangan dalam kalangan penduduk.
Katanya, namun selepas lima bulan ia dilaksanakan, ia telah berjaya mengurangkan kesesakan trafik yang sering menghantui di pekan Tapah.
“Apabila tiba musim perayaan atau cuti hujung minggu, pekan Tapah akan mengalami kesesakan trafik teruk sehingga lebih sejam. Dan kadangkala, saya tidak ke pekan kerana bimbang tersangkut dalam kesesakan itu.
“Selepas pelaksanaan sistem laluan sehala ini, walaupun kenderaan bergerak perlahan tetapi saya lihat keadaan trafik semakin lancar,” katanya.
Bagi Umi Hanani Zainalabidin, 27, pula, sistem laluan sehala itu membantu memudahkan urusanya untuk berulang-alik setiap hari dari rumah di Jalan Pahang ke tempat kerja di Jalan Damai.
“Walaupun terpaksa mengambil laluan sedikit jauh, namun sistem jalan yang terbaru di Tapah telah menjimatkan perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja kira-kira sejam,” ujarnya.
Pada masa sama, kakitangan agensi badan berkanun, Nur Afiqah Nasuha Khairuddin, 28, yang senada dengan rakan sekerjanya itu turut berharap agar ruang penambahbaikkan terhadap laluan di pekan Tapah dapat dilaksanakan.
Katanya, ia termasuk segera memperelok keadaan jalan raya di laluan sekitar pekan Tapah serta mewujudkan persimpangan alternatif ke Jalan Pahang yang juga laluan ke Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Tapah.
Pada Selasa Malaysia Gazette (MG) Perak melaporkan, Kerajaan Negeri Perak sedang merangka pelan mitigasi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung sistem laluan sehala di pekan Tapah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk mewujudkan situasi menang-menang antara pihak autoriti dengan penjaja yang mendakwa terjejas ekoran pelaksanaan sistem itu sejak 23 Ogos lalu.
Justeru beliau berkata, sebuah tapak perniagaan baharu sedang dikenal pasti bagi penempatan semua penjaja yang terkesan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang melancarkan sistem jalan sehala melibatkan Jalan Persekutuan FT 001 (Seksyen 539-540) dan Jalan Majlis di pekan Tapah dengan dua lampu isyarat ditutup bagi melancarkan aliran trafik bermula 23 Ogos 2024. – MG Perak